ALOR SETAR, 14 APRIL 2020 – Biar pun tidak dapat bersama di barisan depan bagi memerangi COVID-19, kalangan asnaf dari Pusat Kemahiran Jahitan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak mahu ketinggalan dalam menyatakan sokongan dan kebersamaan terhadap golongan berkenaan dengan turut membantu menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan para petugas hospital di negeri ini.

Menurut salah seorang daripada mereka, Hafizah Hassan, 54, usaha dilaksanakannya bersama rakan-rakan merupakan salah satu daripada cara mereka untuk menyatakan rasa terima kasih terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan ketika ini.

“Jika sebelum ini kami menerima upah menjahit pakaian sekolah, kini buat pertama kalinya kami diberi kepercayaan untuk menjahit PPE menggunakan material ‘non-woven’ pula.

“Selain dapat mencari nafkah ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menerima upah menjahit, kami gembira kerana dapat memberi sumbangan kecil melalui penyedian PPE ini kerana jika hendak membantu dengan cara lain, kami tidak mampu,” katanya kepada WARTA KEDAH di sini hari ini.

Sementara itu rakannya, Majdiah Fadzil, 26, memaklumkan, dia mula terlibat menjahit PPE tersebut sejak awal bulan ini selepas mendapat tawaran dari LZNK.

“Saya bersyukur diberikan peluang ini kerana upah diterima setidak-tidaknya dapat menampung perbelanjaan harian memandangkan pendapatan agak terjejas di sepanjang PKP ini.

“Setiap hari kami mampu menghasilkan antara 15 hingga 20 pasang PPE dan saya difahamkan setakat ini sudah hampir 600 pasang pakaian tersebut disiapkan hasil kerjasama semua termasuk tenaga pengajar,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”