KULIM, 03 MAC 2019 – Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak berkesempatan untuk turun menyantuni sebuah keluaga di Taman Desa Aman, Padang Meiha baru-baru ini.

Maklumat berkenaan keadaan keluarga ini yang baru kehilangan ketua keluarga akibat kemalangan jalanraya diperoleh oleh pihaknya melalui talian aduan daripada penduduk setempat.

Pejabat Zakat Daerah Kulim telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan setiap aduan masyarakat berkaitan asnaf diambil tindakkan dengan kadar segera oleh pihaknya.

Menurut, Ustaz Mohd Khairi Ishak, beliau telah dimaklumkan bahawa ketua keluarga ini meninggal dunia akibat kemalangan melibatkan lori treler semasa arwah dalam perjalanan menghantar barang dari Perlis ke Kelantan.

Kemalangan meragut nyawa ketua keluarga ini yang berlaku di Grik, Perak telah meninggalkan impak yang besar kepada keluarga ini memandangkan arwah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak untuk meneruskan kehidupan.

Isterinya, Rahana Musa, tidak memiliki sebarang pendapatan kerana hanya bergantung hasil pendapatan arwah suaminya serta dua orang anaknya yang sudah bekerja, selain itu Rahana masih mempunyai dua orang anaknya yang masih bersekolah.

Sehubungan itu, pendapatan keluarga ini tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga mereka dalam jangka masa yang panjang kerana rumah mereka masih dalam proses pembayaran secara bulanan kepada pihak bank berjumlah RM 300 sebulan.

Proses permohonan daripada pihak PERKESO juga sedang diusahakan oleh Rahana bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarganya.

Menurut Ustaz Mohd Khairi Ishak, pihaknya akan berusaha membantu keluarga ini setelah segala proses dokumentasi selesai.

Tambahnya lagi kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan asnaf amat diperlukan bagi memastikan keluarga asnaf yang layak dapat disantuni oleh zakat Kedah.

Terdahulu, Satu kit bantuan makanan asas telah disalurkan kepada keluarga ini sebagai tanda bersimpati keatas ujian yang dihadapi.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740 
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”