YAN, 13 MEI 2020 – Pelaksanaan pembayaran zakat fitrah secara atas talian diperkenalkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada tahun ini, menerima sambutan menggalakkan daripada kalangan umat Islam di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, setakat ini pihaknya telah menerima pembayaran zakat fitrah secara atas talian berjumlah RM798,000.

“Bagi saya, angka itu membuktikan bahawa masyarakat telah menerima hakikat bayaran zakat fitrah boleh dibuat secara atas talian.

“Kita lihat terdapat peningkatan terhadap tahap kefahaman dan penggunaan teknologi dalam kalangan orang ramai hingga kutipan zakat fitrah secara atas talian mencecah purata RM50,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Pelajar Pondok Maahad As-Syatirie (Pondok Sungai Dedap), di sini, hari ini.

Tambahnya, LZNK tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kutipan zakat fitrah secara atas talian.

“Namun kita menggalakkan orang ramai untuk melaksanakan pembayaran zakat fitrah secara atas talian bagi meminimumkan pergerakan, kos dan sebagainya di sepenjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”