ALOR SETAR, 12 FEBRUARI 2020 :- Lebih kurang jam 3 petang baru-baru ini, pihak LZNK menerima satu posting tular daripada seorang pengguna Facebook bernama Nuraisyah Yusoff yang mengeluarkan kenyataan bahawa zakat tidak memberi perhatian terhadap permohonan bantuan rumah yang dipohon ibu beliau di Kariah Kampung Hujung Bandar, Sik. Katanya adakah pihak LZNK ingin menunggu rumah beliau runtuh dahulu baru hendak datang tengok.

Untuk makluman semua, setiap hari, beratus borang permohonan yang diterima bagi skim bantuan membina dan membaik pulih rumah dan setiap permohonan akan disiasat dengan teliti supaya hanya asnaf yang benar-benar layak sahaja yang menerima zakat.

Hasil siasatan yang dibuat, borang permohonan ibu beliau baru sahaja 2 minggu yang lalu dihantar kepada penolong amil kariah ibu beliau yang seterusnya diserahkan kepada Pejabat Zakat Daerah Sik. Hasil semakan juga mendapati borang yang dihantar tersebut tidak lengkap beserta dengan masalah tanah yang belum selesai.

Pemohon mempunyai 6 orang anak, iaitu 2 orang lelaki dan 4 orang perempuan dan kesemuanya bekerja. Pemohon sebelum ini tinggal bersama anaknya di Jelebu, Negeri Sembilan selama 5 tahun dan hanya pulang ke rumah yang dimaksudkan kira-kira baru 3 bulan yang lalu. Manakala Nuraisyah Yusoff tinggal di kariah lain iaitu di kariah Kampung Kerawai.

Kesan daripada posting tular yang dibuat beliau telah mengundang pelbagai persepsi dan komen negatif daripada masyarakat awam tanpa memahami situasi sebenar yang berlaku. Ada juga netizen yang terus menyamakan institusi Islam dengan haiwan yang diharamkan oleh Allah akibat daripada posting tersebut.

Lebih kurang satu jam kemudian, posting beliau telah dipadam dan beliau telah membuat kenyataan dan permohonan maaf secara terbuka.

Untuk makluman semua, bagi tahun 2019 sahaja, Lembaga Zakat Negeri Kedah telah meluluskan lebih kurang 376 buah rumah bagi baikpulih yang menelan belanja lebih RM8.6 Juta. Manakala bagi bantuan membina rumah pula, sebanyak 94 buah rumah telah diluluskan untuk dibina yang menelan belanja lebih RM4 Juta.

Oleh itu, pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah ingin menasihati kepada semua masyarakat supaya lebih berhati-hati dan menjaga tutur kata dalam memberikan sebarang komen tanpa mengetahui kisah sebenar yang akhirnya boleh mengundang persepsi yang lebih buruk kepada institusi agama yang kita cintai.

 

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”