ALOR SETAR, 06 JULAI 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha untuk membantu golongan asnaf di Kedah khususnya daerah Pokok Sena.

Pegawai Zakat Daerah Pokok Sena, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pihaknya sentiasa komited membantu golongan sasar di negeri tersebut bagi meringankan beban mereka untuk meneruskan kehidupan harian.

“Setakat ini, pihak LZNK menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf termasuk bantuan kewangan bulanan dianggarkan mencecah RM881,000. Kita juga menyediakan bantuan bina dan baik pulih rumah, bantuan awal institusi pengajian tinggi (IPT) serta bantuan ‘Food Bank’ di semua 31 buah masjid daerah Pokok Sena sejumlah lebih RM53,000.

“Sehingga 30 Jun lalu, kita telah membuat agihan zakat sebanyak RM937,200 berbanding kutipan RM757,521 bagi daerah Pokok Sena,” katanya ketika ditemui sewaktu turun padang menyerahkan bantuan kewangan bulanan kepada seorang asnaf, Ismail Ahmad,69, di Kampung Kiew, Pokok Sena, hari ini.

Ahmad Hambali berkata, beliau mewakili Zakat Kedah mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan zakat khususnya di LZNK kerana hasil zakat berkenaan dapat disalurkan terus kepada asnaf yang memerlukan seperti Ismail yang menerima bantuan sejak 2014.

Warga emas berkenaan menerima bantuan kerana tidak mampu lagi bekerja akibat pernah mengalami kemalangan selain kini tinggal sendirian di rumahnya.

Dalam pada itu Ahmad Hambali berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana individu khususnya usahawan di sekitar daerah Pokok Sena untuk bersama-sama membantu golongan asnaf dengan menunaikan zakat.

Dalam perkembangan sama menurutnya, penduduk daerah Pokok Sena yang ingin mendapatkan maklumat mengenai produk-produk agihan LZNK boleh ke Pejabat Zakat daerah Pokok Sena di Jalan Jabi.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”