ALOR SETAR, 29 MAC 2020 : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini telah melancarkan satu sistem yang dinamakan sebagai Asnaf Care supaya masyarakat dapat sama-sama membantu dalam mengagihkan bekalan makanan kepada mereka yang terputus bekalan makanan sempena Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak 18 Mac 2020 yang lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga merangkap Pengerusi LZNK, Dato’ Paduka ‘Ammar bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, berkata bagi memastikan dana zakat mencukupi untuk menjalankan agihan di waktu kritikal sebegini, maka pihak LZNK membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang dan berbakti kepada mereka yang memerlukan.

“Rekod kutipan LZNK sehingga hari ini (26 Mac 2020) telah menunjukkan defisit berbanding agihan yang kita telah kita buat sebanyak hampir RM 8 Juta. Jumlah kutipan yang kita berjaya dapat sehingga hari ini berjumlah RM31.6 Juta manakala agihan yang telah dilaksanakan telah pun mencecah RM39.4 Juta.”

“Namun jumlah ini tidak sesekali melemahkan semangat kita. Sebab itu kita akan terus mengatur beberapa pelan tindakan bagi memastikan agihan kepada asnaf diteruskan dan tidak akan terhenti,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sistem Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah, di sini hari ini.

Dato’ Paduka Ammar bersama YB. Dato’ Paduka Syeikh Fadzil, YB. Dato’ SFO Kedah, Dato’ YAA Ketua Hakim Syarie Kedah dan Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah

Sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh kakitangan LZNK dalam tempoh yang singkat ini memaparkan 9 jenis item makanan seperti beras, minyak masak, sardin dan sebagainya dan semua pengguna hanya perlu melayari laman web https://asnafcare.com.my bagi membuat sumbangan.

Pihak LZNK mensasarkan kutipan sebanyak kira-kira RM36 juta yang boleh memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 keluarga dalam masa 6 bulan ini yang diramalkan bakal menghadapi impak ekonomi yang perlahan akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Sebagai permulaan, pihak LZNK telah pun mengagihkan tambahan bekalan makanan sebanyak 57,600 kampit beras dan 172,800 tin sardin kepada semua 576 buah masjid di Negeri Kedah yang telah menjadi Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin Zakat Kedah.

Agihan ini adalah tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan terhadap bekalan makanan sedia ada. Dijangkakan agihan bekalan makanan untuk fasa pertama ini bakal memberi manfaat kepada 74,880 buah keluarga yang terjejas dan terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan di Negeri Kedah.

Sementara itu, Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Sheikh Haji Fadzil bin Haji Awang yang turut hadir dalam majlis tersebut turut menggesa rakyat Malaysia khususnya di negeri Kedah untuk memberikan apa sahaja sumbangan yang termampu untuk membantu mereka yang terputus bekalan ini.

“Saya berharap lebih ramai pihak yang akan mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya dalam tempoh yang sukar ini.”

“Ada antara kita yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang terputus punca pendapatan, termasuk ketiadaan makanan serta kekurangan pelbagai keperluan asas dalam mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh berbaki 3 minggu lagi ini,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang https://asnafcare.com.my dan akan disertakan resit secara atas talian.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”