SELANGGOR, 24 OKTOBER 2019 – “Bila saya dilantik menjadi CEO zakat, baru saya sedar rupa-rupanya yang paling susah bukan nak urus kutip dan agih zakat, tapi yang paling susah ialah nak mengurus persepsi masyarakat.”

Itu luahan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2019 dan Ijtimak Penggerak Zakat Kebangsaan yang diadakan di Movenpick Hotel & TH Convention Centre, KLIA pagi tadi.

Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri itu dihadiri kira-kira 300 orang dari pelbagai agensi kerajaan termasuk semua Agensi Mengurus Zakat (AMZ) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seluruh negara.

Dalam ucapan beliau, Syeikh Zakaria menekankan tentang kepentingan kepercayaan masyarakat yang harus segera dipulihkan supaya institusi agama ini boleh berdiri teguh dan dipandang sebagai sebuah agensi penyelamat kepada ekonomi umat Islam.

“Isu pertikaian terhadap cara pengagihan zakat ini tidak akan selesai sehingga mereka yang mempertikaikan itu mendapat sebahagian dari zakat. Sekiranya mereka dapat, mereka gembira. Tapi sebaliknya jika mereka tidak dapat, maka mereka akan terus mempertikaikan dan menghina institusi zakat. Isu ini bukan baru mula hari ini, bahkan sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.” Kata beliau yang merujuk kepada Surah At-Taubah ayat 58.

Dalam pada itu, Syeikh Zakaria juga menyebut berkenaan perbezaan yang ada di antara Islamic Social Finance dan Islamic Corporate Finance. Ini kerana di saat semua pihak mengangkat kehebatan Islamic Corporate Finance di Malaysia ke mata dunia, mengapa tidak sektor Islamic Social Finance juga melakukan perkara yang sama bagi mengangkat industri zakat dan waqf di Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Mungkin pihak JAWHAR sebagai wakil persekutuan boleh menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Kewangan Sosial Islam (JKKSI) yang dianggotai oleh pusat-pusat zakat negeri dan agensi Bank Negara seperti ISRA dan INCEIF supaya kita boleh mewujudkan satu blueprint pengurusan zakat dan waqf Malaysia yang boleh dibanggakan dan dijadikan rujukan dunia.”

Dalam majlis tersebut, Lembaga Zakat Negeri Kedah telah menerima dua Anugerah Zakat Kebangsaan 2019 di bawah kategori Inovasi Agihan Zakat Terbaik dan kategori Asnaf Usahawan (Khas) yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”