ALOR SETAR, 02 JULAI 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membantu mempromosikan syarikat pembayar zakat di negeri ini dengan memperkenalkan sijil dan logo pengesahan Muzakki (pembayar zakat).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, tujuan pengesahan sijil tersebut menjadi bukti bahawa syarikat-syarikat berkenaan merupakan pembayar zakat di negeri ini.

Menurutnya, usaha ini akan mampu membantu umat Islam memilih untuk berurusniaga dengan para peniaga yang menunaikan zakat perniagaan pada setiap tahun terutama di Kedah.


Senator Datuk Zulkifli menampal logo sahabat zakat di sebuah lori perniagaan milik usahawan Kicap Doon

“Muzakki juga dibekalkan logo Sahabat Zakat Kedah yang berfungsi seperti logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi digunakan pada bungkusan produk yang dikeluarkan bagi memberikan keyakinan kepada pembeli bahawa ini adalah produk Muslim yang juga pembayar zakat.

“Ini adalah salah satu cara kami membantu pembayar-pembayar zakat di negeri ini. Sehingga kini kami sudah menyiapkan 130 sijil pengesahan Muzakki dan mereka boleh mempamerkan logo dan sijil ini di premis perniagaan ataupun kenderaan rasmi mereka.


Syarikat Saidon Empire menyerahkan cenderahati produk Kicap Doon kepada
Senator Datuk Zulkifli


Senator Datuk Zulkifli menyerahkan sijil pengesahan Muzzaki kepada usahawan
Kicap Doon

“Usaha ini bukan sahaja terhad kepada syarikat produk makanan tetapi kepada semua jenis perniagaan. Perkara ini mampu menjadi inspirasi baru dalam putaran ekonomi membabitkan produk milik usahawan Islam di Kedah,”katanya pada sidang media selepas pelancaran sijil dan logo Muzakki di Menara zakat, Alor Setar hari ini.

Sijil Pengesahan Muzakki dan Logo Sahabat Zakat Kedah telah dilancarkan pada tanggal 21 Mei 2020 oleh Mufti Kedah, Sohibus Samahah Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang di Menara Zakat Kedah.


Dato’ Paduka SUK Kedah (kiri), Senator Datuk Zulkifli dan CEO LZNK (kanan) sedang melihat botol produk kicap Mudim yang tertera logo sahabat zakat

Terdahulu Majlis Penyerahan Sijil Muzakki telah diadakan bagi tujuan memberi penghargaan kepada 3 buah syarikat terawal yang mendapat pengesahan Muzakki dan telahpun menggunakan logo sahabat zakat Kedah pada setiap produk-produk keluaran mereka.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Menara Zakat.

Syarikat Ayam Bismi menyerahkan cenderahati produk Ayam Bismi kepada
Senator Datuk Zulkifli

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim; Mufti Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Agama), Yang Berhormat Brigedier Jeneral (B) Dato’ Haji Najmi Ahmad.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”