KUBANG PASU, 7 MEI 2020 – Selepas hampir empat tahun berteduh di dangau dalam kebun getah, pasangan Abdullah Ahmad, 41, dan Ruziah Mohd Radzhi, 39, bersama enam anak serta cucu mereka berusia antara tiga hingga 21 tahun, kini menikmati kehidupan lebih selesa apabila permohonan mendapatkan Rumah Zakat Kedah sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), diluluskan.

Malah sewaktu mula melangkah ke rumah tersebut, pasangan itu mengakui tidak menyangka betapa rumah itu jauh lebih selesa berbanding yang dibayangkan sebelum ini.

Menurut Abdullah, mereka sekeluarga amat bersyukur dengan pemberian tersebut yang secara tidak langsung mendatangkan keceriaan kepada anak-anak menjelang kedatangan Aidilfitri.

“Sebelum ini kami cuma menyewa sebuah dangau di kebun getah dengan bayaran RM150 sebulan. Rumah itu tiada bilik dengan dapur dan tandas pun berada di luar.

“Apabila mula menjejakkan kaki ke rumah zakat ini, kami terkejut kerana rupa-rupanya rumah ini memiliki tiga bilik dan keadaannya cukup selesa. Kami bersyukur dengan pemberian ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha meluluskan permohonan kami,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima rumah bernilai RM43,000 tersebut secara rasmi yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman di Kampung Sampang, Bukit Wang dekat sini, hari ini.

Pasangan tersebut kedua-duanya menoreh getah secara pawah dengan pendapatan bulanan tidak menentu bergantung kepada keadaan dan cuaca.

Menurut Abdullah, dia mula memohon untuk mendapatkan rumah tersebut pada awal tahun lalu setelah diberitahu mengenainya oleh rakan-rakan.

“Kami tak sangka permohonan itu diluluskan. Kami hanya berserah dan Alhamdulillah, kini kami dapat mendiami rumah ini,” katanya.

Sementara itu Syeikh Zakaria berkata, pihaknya sedang menilai 47 permohonan yang diterima untuk mendapatkan rumah tersebut pada tahun ini, dengan tujuh buah rumah sedang dalam proses pembinaan.

Selain itu katanya, pihaknya turut menerima 191 permohonan membaiki rumah dengan 20 sedang dinilai dan empat kini dalam proses baik pulih melibatkan kos RM98,000.

“Pada 2019, kita berjaya membina sebanyak 137 buah rumah menelan kos RM5.9 juta selain membaik pulih sebanyak 348 buah rumah untuk keluarga fakir miskin dengan kos RM8.4 juta,” katanya.

Katanya, terdapat permohonan terpaksa ditolak atas beberapa faktor antaranya kerana pemohon masih mempunyai aset dalam jumlah mencukupi untuk membina rumah.

“Sebagai contoh pemohon mungkin miskin tetapi mewarisi tanah hingga enam atau tujuh relung. Mereka ini mungkin boleh menjual serelung tanah untuk membina rumah berbanding orang lain yang tidak memiliki aset.

“Selain itu kita juga berdepan masalah meluluskan permohonan kerana pemohon tidak mendapat kebenaran dari adik beradik untuk membina rumah di tanah milik keluarga,” katanya.

Di samping itu katanya, terdapat juga permohonan yang terpaksa ditolak kerana tapak kediaman mereka itu berada di tanah rizab kerajaan.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”