ALOR SETAR, 31 MAC 2020 – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah terus menunjukkan keprihatinan baginda dengan memperkenankan agar Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM9.7 juta bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang terputus bekalan makanan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

LZNK dalam satu kenyataan memaklumkan, keprihatinan baginda itu merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapai bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Bekalan makanan tambahan ini akan diserahkan kepada semua 578 masjid yang dijadikan Pusat Bekalan Makanan (Food Bank) Fakir dan Miskin Zakat Kedah secara berperingkat.

“Pemberian itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu awal April 2020, pertengahan April 2020 (Persediaan awal Ramadan) dan awal Mei 2020 (kegunaan bulan Ramadan),” katanya.

Tambahnya, kesemua masjid itu akan dibekalkan dengan tiga item asas iaitu 300 kampit beras seberat lima kilogram, 600 tin sardin (155 gram) dan 300 botol kicap (415 gram) pada setiap fasa.

“Keseluruhannya masjid-masjid itu akan menerima sebanyak 900 set bekalan makanan yang akan diagihkan kepada golongan layak oleh penolong amil LZNk.

“Agihan akan dilakukan dengan mematuhi aspek-aspek keselamatan ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh PKP,” katanya.

Menurutnya, dengan peruntukan zakat berjumlah untuk ketiga-tiga fasa ini berjumlah RM9.7 juta dan dijangka memanfaatkan lebih 520,000 keluarga yang terputus bekalan makanan di Kedah.

Kenyataan itu memaklumkan sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkaitan agihan bantuan dalam tempoh PKP boleh diajukan kepada pejabat zakat daerah masing-masing.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”