KULIM, 03 MAC 2019 – Pejabat Zakat Daerah Kulim telah melakukan proses pembancian semula keatas para penerima bantuan zakat di sekitar daerah Kulim dalam satu majlis bancian siri keenam yang telah berlansung dengan jayanya di perkarangan Masjid Sungai Karangan.

Majlis bancian yang dijalankan tersebut telah melibatkan hampir 114 keluarga yang tinggal di sekitar kawasan Sungai Karangan, Padang Meiha, Labu Besar, Bagan Sena, Merbau Pulas dan Bikan.

Kelompok ini telah melengkapkan jumlah keseluruhan penerima bantuan yang akan dibanci oleh Pejabat Zakat Daerah Kulim, iaitu seramai 973 keluarga.

Majlis bancian tersebut telah berlansung sejak 10 Februari hingga18 Februari 2019 di enam buah masjid terpilih.

Menurut Pegawai Zakat Daerah Kulim, Ustaz Mohd Khairi Ishak, pihaknya telah membuat perancangan yang rapi dalam menghadapi proses bancian yang melibatkan jumlah penerima bantuan yang ramai memandangkan pihaknya tidak boleh menangguh proses permohonan bantuan baru dari keluarga asnaf yang lainnya.

Proses bancian ini pastinya akan memakan masa yang panjang, namun pihaknya akan berusaha mempercepatkan prosedur ini bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang.

Oleh demikian, pihaknya amat mengharapkan kerjasama daripada para penerima bantuan untuk memastikan borang bancian yang dihantar diisi dengan lengkap sebelum diserahkan kepada pihaknya.

“Kita seharusnya memastikan setiap permohonan bantuan yang dibuat memenuhi kehendak dan kriteria bagi mengelakkan kelewatan proses, malah mengakibatkan permohonan bantuan tersebut ditolak.

Tambah merunsingkan pihak kami apabila terdapat diantara penerima bantuan langsung tidak memaklumkan pertukaran alamat apabila berpindah serta penukaran nombor telefon baru kepada pihak LZNK menyebabkan kesukaran untuk menghubungi mereka seterusnya akan merumitkan proses bancian ini.”katanya.

Sehingga hari ini, pihak LZNK telah mengagihkan bantuan kepada asnaf sekitar daerah Kulim berjumlah RM 628,092.19 melibatkan pelbagai skim bantuan menggunakan wang zakat para pembayar.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740 
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”