KUALA MUDA, 12 OGOS 2018 – Kawasan Tanjung Dawai amat sinonim dengan perkampungan nelayan dan pemandangan indah serta makanan laut yang lazat.

Namun begitu, kawasan ini juga sering kali dilanda angin kencang dan ribut kuat berikutan kawasannya yang terletak berhampiran laut.

Baru-baru ini sekali lagi perkampungan nelayan di daerah Kuala Muda telah terjejas akibat kejadian hujan lebat, angit kuat dan ribut yang melanda di sekitar Kampung Nelayan Tanjung Dawai.

Dianggarkan hampir 40 buah rumah telah terlibat dalam kejadian tersebut dan telah menyebabkan kebanyakan rumah mereka mengalami kerosakan yang teruk dibahagian bumbung.

Sehubungan itu, Pejabat Zakat Kuala Muda yang menerima berita tersebut daripada penolong amil qaryah Masjid Tanjung Dawai, Dolbashid Hashim telah tampil bagi melawat beberapa buah rumah dan melihat sendiri keadaan susulan kejadian tersebut.

Turut hadir sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Tanjung Dawai, YB Ustaz Hanif  Ghazali.

Terdahulu, Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda telah menziarahi dua buah keluarga yang turut mengalami masalah yang sama di qaryah Masjid At-Tahir, Sungai Gelam dan Masjid Al-Husna, Kampung Pengkalan Bujang.

Dalam pada itu, PZD Kuala Muda turut menyalurkan bantuan segera berupa kit makanan asas kepada keluarga yang terjejas dalam musibah alam tersebut dan bantuan susulan akan disalurkan kemudian setelah segala permohonan selesai diproses.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf