Newsletter
Newsletter

8 PELAJAR KEDAH BERANGKAT KE JORDAN DENGAN TAJAAN LZNK

Scroll down

23 September 2025

4:49 PM

izzati

KUALA LUMPUR, 23 September 2025 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) terus menzahirkan komitmen dalam menyokong aspirasi pendidikan anak-anak negeri dengan menguruskan pelepasan seramai lapan (8) orang pelajar Kedah yang melanjutkan pengajian ke Jordan.

Pelepasan tersebut diketuai oleh wakil Divisyen Pendidikan LZNK, En. Shazril Hanis bin Salmi, yang turut bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan pelajar. Seawal jam 6.00 petang, para pelajar berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk urusan daftar masuk sebelum berlepas pada jam 9.30 malam menerusi transit di Abu Dhabi. Rombongan selamat tiba di Queen Alia International Airport, Amman pada 24 September 2025, jam 4.30 pagi waktu tempatan.

Sebagai tanda keprihatinan, LZNK menyalurkan bantuan berupa tiket penerbangan antarabangsa dan wang saku sebanyak RM1,000.00 kepada setiap pelajar. Bantuan ini dibiayai melalui hasil kutipan Wang Sedekah yang diuruskan oleh LZNK. Selain itu, agihan zakat pendahuluan berjumlah RM5,000.00 turut disalurkan kepada pelajar yang layak bagi menampung keperluan awal pengajian.

Inisiatif ini menjadi bukti kesungguhan LZNK dalam menguruskan dana zakat secara telus dan berkesan, selain berperanan penting dalam melahirkan generasi berilmu, berwibawa dan berpotensi menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa serta negara.

LZNK turut mendoakan agar semua pelajar beroleh kejayaan, menjaga nama baik negeri Kedah, serta kembali sebagai aset berharga yang mampu memperkasa masyarakat dan ummah pada masa hadapan.

Posted in Berita Agihan