KOTA SETAR, 01 OGOS 2018 – Pondok usang yang hampir menyembah bumi itu dihuni 26 ahli keluarga sebagai tempat berteduh daripada panas mahupun hujan.
Walaupun terpaksa berhimpit dan makan ala kadar sahaja, Ishak Darus, 75 tahun, dan isterinya, Jamaliah Rejab, 56 tahun, bersama 10 anaknya serta 10 cucu dan empat menantu tetap setia menghuni pondok di Lorong Gedebang, sejak sekian lama.
Ishak ketika ditemui di rumahnya berkata, mereka tidak mampu menyewa di tempat lain akibat kemiskinan.
“Pak cik duduk sini sejak kecil lagi, rumah ni rumah pusaka cuma sewa tanah saja dalam RM72 sebulan. Ada buat tirai sebagai dinding supaya jadi dua bilik, di situlah tempat makan, situlah tidur,” katanya.
Rumah didiami keluarga itu umpama menunggu masa untuk roboh dan begitu daif, malah lantai hanya beralaskan tikar getah manakala bumbung zink sudah berlubang dan berkarat, selain dinding rumah juga sudah dimamah anai-anai.
Persekitaran rumah agak kotor dipenuhi semak, selain dipenuhi barangan terpakai serta baju terpakai yang disumbangkan orang ramai bertimbun di luar rumah.
Ishak berkata, dirinya sudah uzur dan sekadar bergantung kepada anak dan menantu yang bekerja di kedai makan dengan upah tidak seberapa.
“Anak sulung pak cik umur 28 tahun, bongsu 14 tahun tetapi tak sekolah dah. Tiga anak lelaki, yang lain perempuan. Pak cik dah lima tahun tak kerja dan mak cik pun ada penyakit saraf. Duit yang ada cukup-cukup makan saja, nak baiki rumah tak boleh lah,” katanya.
Menurutnya, bil air dan elektrik juga perlu dibayar sekitar RM60, selain berjimat cermat untuk membeli barangan untuk dimasak bagi mengisi perut ahli keluarganya.
“Isteri akan masak tiap hari dan makan sama-sama sorang sedikit. Nak mandi kenalah ikut giliran sebab bilik air satu,” katanya.
Ishak berkata, sebahagian cucunya tidak bersekolah kerana tidak mampu menyediakan keperluan.
“Saya harap dapat sebuah rumah yang selesa untuk kami sekeluarga duduk, jika boleh di Alor Setar sebab anak bekerja di sini,” katanya.
Sementara Exco Kerajaan Negeri Kedah yang memegang portfolio Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, dan Kemiskinan, YB. Halimaton Saadiah Saad berkata, kerajaan negeri akan meneliti penyelesaian terbaik untuk membantu keluarga daif itu.
“Jumlah penghuni seramai 26 orang tidak sesuai tinggal dalam sebuah rumah, kita akan cuba sediakan rumah transit berdekatan untuk tempatkan keluarga ini, ada beberapa pilihan antaranya rumah transit bawah Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK),” katanya.
Menurutnya, perpindahan adalah alternatif terbaik kerana tanah didiami keluarga terbabit bukan hak milik mereka.
“Saya difahamkan, tuan tanah sudah menjual tapak ini dan kita akan bantu selesaikan sebaik mungkin. Saya akan bincang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya.
Halimaton berkata, buat masa ini, keluarga ini menerima bantuan LZNK sebanyak RM600 sebulan.
“Sikap masyarakat memang suka tularkan berita tanpa maklumat lengkap, kita tak boleh salahkan agensi kerajaan kerana bantuan sudah diberikan,” katanya.
Sebelum ini, kisah kehidupan keluarga Ishak tular dan mendapat simpati netizen susulan terpaksa bersesak dalam rumah selain hidup daif.
350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH
“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740
“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”