KUBANG PASU, 12 OGOS 2018 – Akibat kesempitan hidup, lelaki yang mengalami masalah mental terpaksa berteduh di rumah pusaka yang sangat daif menggunakan khemah sejak enam tahun lalu berikutan 70 peratus bumbung kediamannya bocor.
Malah adik perempuannya yang juga seorang ibu tunggal, Faridah Ahmad, 60, tidak mampu membaiki rumah pusaka berusia 70 tahun itu berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Faridah berkata, dia bimbang dengan keselamatan abangnya, Hamdan Ahmad, 63, yang terpaksa tinggal di dalam khemah di rumah pusaka yang daif itu.
“Abang saya juga terima wang bantuan JKM RM300 sebulan, tapi wang itu saya gunakan untuk membeli makanan dan ubat-ubatanya. Jika mahu baiki rumah ini, saya tidak mampu apatah lagi saya sendiri terpaksa bergantung dengan anak tunggal yang baru saja bekerja sebagai pemandu lori dan pendapatannya juga tidak menentu.
“Sudah enam tahun abang saya terpaksa duduk di bawah khemah, ini saja yang mampu saya lakukan supaya dia dapat berlindung daripada hujan dan panas, rumah ini juga hanya tunggu masa saja rebah kerana sudah dimakan anai-anai,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Korok, Alor Biak, Jitra.
Faridah berkata, dia sangat berharap tempat tinggal abangnya lebih selesa memandangkan dia tidak mampu membawa abangnya tinggal bersama berikutan keadaan rumahnya juga sempit dan tidak mempunyai bilik tidur.
Katanya, setiap pagi adalah menjadi rutin dia dan anaknya Ridzwan Shafei, 35, menghantar makanan dan menukar pakaian abangnya yang semakin uzur selepas terbabit dalam kemalangan 10 tahun lalu.
Sementara itu, kisah dua beradik yang disiar melalui Harian Metro online baru-baru ini turut mendapat perhatian daripada Pejabat Zakat daerah Kubang Pasu apabila melalui wakilnya yang tampil bagi menziarahi dua beradik tersebut.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai zakat daerah Kubang Pasu, Ustaz Rokhaimi Mat Saad berkata, pihak mereka akan mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya untuk disalurkan kepada dua beradik tersebut bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
Terdahulu, Ustaz Rokhaimi turut memberikan bantuan segera berupa kit makanan asas kepada mereka.
350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH
“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740
“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf