Soalan berkaitan kutipan zakat / pengeluaran zakat.

Apakah pengertian zakat?

Zakat berasal daripada perkataan Arab, iaitu zakaa yang bermakna bersih dan suci.

Manakala dari sudut syarak adalah harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu kepada golongan (orang-orang) tertentu (asnaf).

Apakah syarat - syarat berzakat?

Terdapat lima syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan zakat:

  1. Islam

Hanya orang islam diwajibkan berzakat. Pemberian daripada orang bukan Islam tidak dianggap sebagai zakat.

  1. Merdeka

Hanya Muslim yang merdeka Wajib berzakat.

  1. Sempurna Milik (al-milk at-tam)

Harta itu perlu dimiliki zat dan manfaatnya serratus peratus dan tiada halangan apa pun untuk digunakan dengan apa cara sekali pun.

  1. Cukup Nisab

NIsab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak. Umumnya zakat harta disandarkan nisabnya kepada 85 gram emas. Namun ada beberapa jenis harta yang mempunyai nisab yang berbeza dan hal ini akan diperincikan kemudian.

  1. Cukup Haul

Genap setahun harta milik sempurna itu disimpan iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Bagi zakat pertanian dan galian , haulnya adalah semasa harta itu diperolehi.

Saya baru mengetahui syarat wajib mengeluarkan zakat. Adakah saya perlu qada’ zakat pendapatan untuk tahun sebelum ini?

Ya, perlu qada zakat yang sebelumnya.

Saya mempunyai beberapa buah rumah sewa di sekitar negeri Kedah namun keuntungan yang diperolehi akan ditolak bayaran kepada bank. Adakah perlu dikeluarkan zakat juga?

Perlu dizakatkan dahulu kerana wang tersebut merupakan pendapatan.

Adakah wang pencen yang saya terima setiap bulan perlu dibayar zakat dan bagaimana pengiraannya?

Ya, dikenakan zakat mengikut kaedah kiraan zakat pendapatan

Adakah bayaran bulanan saya kepada bekas isteri berjumlah RM600 sebulan dengan jumlah RM7,200 setahun boleh diambil kira sebagai tolakan dalam kiraan zakat pendapatan?

Untuk isteri dibolehkan dalam tempoh edah sahaja tetapi untuk anak-anak mengikut kiraan haddul kifayah.”

Bolehkan zakat dibayar jika sumber wang tersebut adalah daripada sumber yang haram? Apakah contoh sumber yang haram tersebut?

Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.

Contoh sumber haram tersebut adalah seperti wang rasuah, riba, wang judi dan seumpamanya.

Saya mempunyai beberapa ekor haiwan ternakan sebagai mata pencarian saya. Adakah saya masih dikenakan zakat dan bagaimana pengiraannya?

Sekiranya haiwan tersebut digunakan sebagai membantu membuat kerja, maka ianya tidak dikenakan zakat.

Zakat Ternakan hanya dikenakan ke atas lembu dan kambing apabila mencukupi syarat ditetapkan.

Saya ada akaun Tabung Haji (TH) yang tak cukup nisab tetapi kalau dicampurkan dgn akuan simpanan bank nisab tersebut cukup dan cukup haul. Adakah wajib zakat?

Ya wajib zakat tetapi zakatnya adalah berdasarkan baki terakhir dalam setahun di dalam kesemua simpanan setelah ditolak simpanan di tabung haji. Pihak Tabung Haji telah mengeluarkan zakat bagi pihak pendeposit.

Sekiranya saya mengeluarkan sebahagian wang KWSP, adakah baki yang tinggal dalam akaun KWSP perlu dizakatkan?

Zakat hanya dikenakan ke atas bahagian wang yang dikeluarkan tetapi baki di dalam akaun KWSP tidak wajib dikenakan zakat pada masa itu kerana tidak milik sempurna.

Mengapa zakat perniagaan tidak dikira berdasarkan keuntungan?

Asas zakat perniagaan bukan atas keuntungan (jualan tolak kos belian) tetapi ialah nilai barang perniagaan pada hujung haul perniagaan. Ini berdasarkan mafhum sebuah hadis iaitu :

 

Daripada Samurah bin Jundub :

Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual.”

  (Riwayat Abu Daud dan Daruqutni)

Adakah perlu menunggu tempoh setahun untuk membayar zakat KWSP?

Tidak perlu menunggu setahun atau cukup haul.

Saya bekerja di luar negeri Kedah. Adakah saya perlu membayar zakat di negeri Kedah walhal tidak bekerja di negeri itu?

Zakat pendapatan wajib dikeluarkan. Cuma lebih afdal sekiranya mengeluarkan di negeri tempat bekerja.

Top