7 MEI 2018 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menetapkan Kadar bayaran Zakat fitrah yang diwajibkan untuk umat islam di negeri Kedah bagi tahun 1439H/2018M adalah dengan kadar minimum RM7.00. Penetapan tersebut adalah mengikut harga bagi satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Mufti Negeri Kedah, Dato Syeikh Fadzil Awang berkata, Walau bagaimanapun, bagi golongan yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan, boleh memilih kadar zakat fitrah iaitu Beras Super Import berjumlah RM14.00 dan Beras Basmathi berjumlah RM21.00. Bayaran zakat melebihi RM 7.00 adalah sunat dengan tiada paksaan kepada pembayar.

Menurutnya lagi, bayaran zakat fitrah boleh dibayar secara tunai kepada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui 3064 orang amil fitrah yang telah dilantik di 614 pusat kutipan zakat fitrah di seluruh negeri Kedah menggunakan resit rasmi zakat fitrah yang dikeluarkan oleh Lembaga Zakat negeri Kedah. Selain itu, bayaran zakat fitrah juga boleh dibuat secara online di laman Jom Zakat (https://jom.zakatkedah.com.my)

Beliau ditemui dalam sidang media majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) Di Istana Anak Bukit, Kedah. Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah yang mengetuai serahan zakat tersebut telah menyerahkan zakat perniagaan MIDF kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang berjumlah RM1 juta Ringgit bagi tahun kewangan berakhir 2016 dan 2017 sambil disaksikan oleh DYTM Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Paduka Haji Bakar Din, serta Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.