ALOR SETAR, 31 MAC 2022 :- Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri itu iaitu RM7, RM14 dan RM21 pada tahun ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar RM7 adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis ‘super special’ tempatan dan setaraf dengannya manakala RM14 adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf.

“Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2022, di Menara Zakat di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Mengulas lanjut, Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agihan Zakat dan Ahli Lembaga Zakat Kedah berkata, LZNK mensasarkan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM11.7 juta dengan anggaran peningkatan sebanyak lima peratus berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM11.14 juta.

Katanya, kutipan zakat fitrah itu akan diagihkan sepenuhnya pada Ramadan iaitu sebanyak RM6.04 juta kepada 18,800 orang penerima bantuan bulanan yang dikategori fakir sebanyak RM400 dan miskin RM300.

“Sebanyak RM3.6 juta pula akan diagihkan kepada 9,000 guru agama seluruh Kedah iaitu sebanyak RM400 orang, manakala RM300,000 akan diberikan kepada 300 mualaf di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata pihaknya sangat mengalu-alukan pembayaran zakat secara dalam talian selain melakukan bayaran menerusi 3,100 amil yang dilantik seluruh negeri.

Katanya, pada tahun ini amil yang dilantik akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya sama ada melalui ‘Sistem MyAmil’ yang memaparkan QR Kod untuk diimbas oleh pembayar atau berkongsi pautan pembayaran yang disediakan.

“Pembayar pula akan menerima resit pembayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau emel. Bagi pembayar yang menghadapi masalah untuk menggunakan kaedah digital, amil yang dilantik juga akan dibekalkan dengan buku resit fitrah tetapi dalam kuantiti yang sangat terhad,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”