Newsletter
Newsletter

KADAR ZAKAT FITRAH DI KEDAH TAHUN 2025 DITETAPKAN 2 KADAR, RM 7.00 DAN RM 14.00

Scroll down

5 March 2025

3:24 pm

Syed Taqiuddin

ALOR SETAR, 04 MAC 2025 – Dua kadar zakat fitrah ditetapkan di Kedah bagi tahun 1446M bersamaan 2025M iaitu RM 7.00 dan RM14.00 berbanding tiga kadar harga pada tahun sebelumnya iaitu 2024.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Seri Haji Norizan Khazali berkata, LZNK melalui perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menetapkan kadar zakat fitrah pada dua kadar harga sahaja.

Beliau berkata, kadar RM 7.00 ditetapkan bagi umat Islam yang menjadikan beras tempatan sebagai makanan harian, manakala kadar RM 14.00 dikenakan kepada mereka yang menggunakan beras import seperti Basmathi dan seumpamanya.

“Jadi, semua umat Islam digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan harian.

“Bagaimanapun, sekiranya seseorang makan beras tempatan tetapi mampu membayar lebih, iaitu pada kadar RM14 atau lebih, maka digalakkan untuk membayar zakat fitrah pada kadar yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Pretasi Kutipan dan Agihan LZNK pada 2024 dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Kedah pada 2025 di Wisma Zakat Kedah, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Mufti Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Haji Awang.

Sebelum ini, kadar zakat fitrah Kedah pada 2024 ditetapkan dalam tiga kategori harga iaitu RM 7.00, RM 14.00, dan RM 21.00, mengikut jenis beras dimakan.

Jelas Norizan, kadar zakat fitrah RM 21.00 tidak dilaksanakan pada tahun ini memandangkan rakyat Kedah hanya makan dua jenis beras iaitu tempatan dan import.

“Kita lihat penduduk ataupun rakyat negeri Kedah ini menggunakan dua jenis beras ini sahaja, apa yang rakyat guna, itulah kita kenakan zakat,” katanya.

Beliau memaklumkan, LZNK turut menetapkan sasaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM 14.5 juta iaitu lebih tinggi berbanding tahun lalu yang berjumlah RM 13.1 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman, LZNK memperkenalkan 22 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah.

Beliau menambah, terdapat tiga portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch dan MyAmil, diikuti 13 platform perbankan internet, tiga aplikasi e-wallet dan tiga portal pembayaran untuk tujuan pembayaran zakat itu.

Kongsi Zakaria lagi, seramai 2,753 amil bertauliah dan 172 agensi kutipan telah dilantik LZNK bagi memastikan proses pembayaran zakat dapat dilakukan dengan mudah oleh masyarakat.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, LZNK turut mengumumkan peningkatan kadar nisab zakat bermula 1 Januari 2025 berjumlah RM 32,010.16 bersamaan 85 gram (g) emas bergantung kepada harga emas semasa.

Beliau memberitahu, LZNK juga memperkenalkan dua skim baharu, iaitu Wakaf Kilang Padi (Projek Hasan) dan Sedekah Sehari RM1 bagi memperluaskan manfaat zakat kepada masyarakat.

“Projek Hasan bertujuan membangunkan ekosistem pertanian berasaskan wakaf, termasuk kilang padi, traktor, lori, mesin padi, dan dron wakaf.

“Sehingga kini, projek ini telah mengumpulkan lebih RM1.3 juta daripada sasaran RM11 juta,” katanya.

Menurutnya, skim Sedekah Satu Hari Satu Ringgit membolehkan masyarakat menyumbang RM1 sehari bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah.

Posted in Uncategorized
Write a comment

BORANG SOAL SELIDIK KAJIAN KEPUASAN PELANGGAN TERHADAP KUALITI PERKHIDMATAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH DARUL AMAN PADA TAHUN 2025

SILA KLIK DI SINI