ALOR SETAR, 24 MAC 2025 – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Majlis Agihan Zakat bagi tahun 2025 dan juga berbuka puasa yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Pembangunan Asnaf LZNK Mergong di sini.

Majlis melibatkan persembahan zakat perniagaan dan pengurniaan Wakalah Agihan Zakat serta kurniaan agihan zakat kepada asnaf.
Pada majlis itu, Tuanku Sultan turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran sedekah Lembaga Zakat Negeri Kedah seterusnya menerima zakat perniagaan daripada syarikat koporat antaranya Tenaga Nasional Berhad, CIMB Islamic Bank dan Enviroment Idaman Sdn.Bhd Kedah dengan jumlah keseluruhan RM 4.37 juta.
Baginda turut perkenan mengurniakan Wakalah Agihan Zakat kepada empat agensi kerajaan dan swasta dengan jumlah keseluruhan RM16.63 juta.

Penerima terdiri daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Universiti Utara Malaysia, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah dan Petronas Chemicals Fetiliser Kedah Sdn Bhd.
Selain itu, Tuanku Sultan turut mengurniakan keseluruhan agihan zakat mengikut sektor utama iaitu sektor makanan dan sara hidup, bina dan baikpulih rumah, sektor pendidikan, sektor kesihatan dan sektor kebajikan muallaf dengan jumlah keseluruhan RM 370 juta.

Baginda turut berkenan mengurniakan agihan zakat fitrah 2025 kepada asnaf mengikut kategori fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah berjumlah RM 14.48 juta kepada 6 wakil penerima.
Hadir sama dalam majlis tersebut Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah juga Pengerusi LZNK, Dato’ Seri Norizan Khazali, Sahibus Samahah Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Haji Awang, Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman dan barisan tetamu kehormat.
