ALOR SETAR, 27 DISEMBER 2020 – Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah dan DYTM Raja Muda Kedah telah perkenan untuk berangkat ke Majlis Kurniaan Sumbangan di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Majlis kurniaan sumbangan ini adalah yang pertama kali diadakan dengan mengurniakan Televisyen Pintar (Smart TV), Komputer Riba dan Saluran Astro (Rancangan TVIQ dan TUTOR TV) agar sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.
Pada majlis tersebut, Baginda telah mengurniakan 9 set keperluan belajar berupa ‘Smart TV’, Komputer Riba dan Saluran Astro manakala DYTM Raja Muda Kedah mengurniakan beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Negeri Kedah untuk disampaikan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ahmad Shukri Shafie berkata, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan Baginda di atas kurniaan yang tidak disangka-sangka ini.
“Kami amat terharu atas keprihatinan Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah serta Keluarga DiRaja Baginda kerana memahami keperluan warga pendidik dan pelajar dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam situasi mencabar ini.
“Kami tidak pernah menyangka akan menerima kurniaan seumpama ini daripada Istana. Kami bersyukur dan sentiasa mendoakan agar Baginda berdua serta Keluarga DiRaja Baginda diberikan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan daripada Allah SWT,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.
Majlis Kurniaan Sumbangan tersebut adalah cetusan ilham oleh Baginda, DYTM Raja Muda Kedah dan YTM Tunku Laksamana Kedah kerana bersimpati atas nasib dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan para pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran kerana ketika ini kelas dijalankan secara atas talian ekoran Pandemik Covid-19 yang berlaku.
Baginda menasihati agar warga pendidik dan para pelajar hendaklah tabah dan terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar dan sukar ketika ini terutama kepada warga pendidik yang boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa para pelajar dalam membentuk seorang pemimpin di masa hadapan.
“Beta menasihati semua sekolah yang menerima bantuan ini dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang dikurniakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

“Beta amat menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan-pertubuhan serta individu di negara ini untuk turut membantu warga pendidik dan para pelajar dengan memberikan bantuan dalam menaiktaraf kemudahan pembelajaran bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan secara atas talian,” ujar Baginda.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”