26 MAC 2025 – ALOR SETAR : Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah perkenan berangkat menunaikan bayaran zakat fitrah bagi Tahun 2025M/1446H di Pejabat Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, Wisma Darul Aman, di sini.

Baginda Tuanku Sultan menyempurnakan pembayaran zakat fitrah tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria Othman, yang bertindak selaku amil yang menerima pembayaran tersebut.

Turut hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi LZNK, Dato’ Seri Haji Norizan Khazali.
Majlis ini bukan sahaja menunjukkan contoh teladan yang baik daripada Baginda Tuanku Sultan dalam melaksanakan kewajipan zakat, tetapi juga menggalakkan umat Islam untuk menunaikan zakat fitrah sebagai satu amal ibadah yang penting dalam bulan Ramadan.

Semoga keberkatan Ramadan ini terus dirasai oleh seluruh rakyat Kedah, dan segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.