ALOR SETAR, 18 MEI 2020 – Kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri di seluruh masjid dalam negeri Kedah Darul Aman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah di dikuatkuasakan bermula pada Jumaat 22 Mei 2020 bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah.

Kenyataan media tersebut telah disampaikan oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang pada majlis sidang media bersama pemberita di Wisma Darul Aman.

Menurut Syeikh Fadzil, kebenaran mendirikan Solat Jumaat dan Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri dalam negeri Kedah hanya diberikan kepada seluruh masjid dalam negeri Kedah dengan dihadkan bilangan jemaah seramai 12 orang jemaah melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja mulai Jumaat ini.

“Dari segi kedudukan dan syarat-syarat jemaah pula, pihak Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri akan mengeluarkan SOP kepada semua masjid sebelum Khamis ini.

“Para jamaah hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan menjaga penjarakan sosial, memakai penutup muka, mengambil wuduk di rumah terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri serta pihak pegawai masjid akan membuat pemeriksaan suhu kepada setiap orang.” tambahnya.

“Teks khutbah juga akan dipendekkan dan masa sebelum solat dan selepas solat di dalam masjid akan dihadkan di samping mengharapkan kepada rakyat negeri Kedah supaya bersabar kerana tidak dapat menunaikan solat Jumaat dan solat Aidil Fitri sepenuhnya walaupun ada sedikit kelonggaran buat masa ini.

Sumber Rasmi : Warta Kedah

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”