20 DISEMBER 2017 – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah menyasarkan kutipan zakat sehingga RM200,000 dengan pelantikan ahlinya sebagai ejen zakat bermula semalam.

Yang Dipertuanya, Mohammad Fauzee Mohamad berkata, pelantikan itu membolehkan ahli persatuan yang dilantik ejen zakat membuat kutipan dan menerima bayaran zakat daripada kontraktor.

“Kami menyambut baik pelantikan ahli sebagai ejen zakat ini kerana ia memberi peluang kepada kontraktor mendekati dan membantu membela kebajikan ahli dan golongan asnaf.

“Malahan, pihak persatuan akan mendapat pulangan kembali 3/8 wang zakat diterima untuk disalurkan sendiri kepada orang memerlukan,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Ejen Kutipan Zakat Antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah di Menara Zakat, di sini, semalam.

Menurutnya, sebilangan kontraktor mungkin kurang pengetahuan berkaitan zakat, namun pelantikan itu memberi pendedahan lebih jelas berkaitan perkara itu.

“Kita memiliki 700 ahli yang aktif. Jadi, kita akan berusaha dapatkan bayaran zakat dari ahli layak, iaitu sekitar 300 orang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi taklimat dan melaksanakan jerayawara bagi memberi penerangan lebih lanjut kepada ahli persatuan berkaitan zakat itu.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, kontraktor belum menjadi ahli digalakkan menyertai persatuan agar individu terbabit dapat menyalurkan zakat kepada ejen dilantik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pelantikan kontraktor diyakini mampu merealisasikan matlamat Zakat Kedah untuk mencapai kutipan sasaran zakat keseluruhan RM300 juta pada tahun depan.

Menurutnya, LZNK berharap lebih banyak pihak tampil menjalinkan kerjasama sedemikian dan mencontohi tindakan dilakukan persatuan kontraktor itu.

Katanya, pelantikan ejen zakat dari kumpulan pekerjaan masing-masing mampu memberi kesan besar, khususnya kefahaman, agihan dan memudahkan usaha mengenal pasti golongan sasaran.