ALOR SETAR, 25 MAC 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama Rejimen 513 Askar Wataniah (AW) Kem Bukit Pinang telah berjaya mengagihkan Bekalan Makanan Tambahan ‘Food Bank Zakat Kedah’ di masjid-masjid dalam Daerah Kota Setar hari ini. Penghantaran bantuan yang akan berlangsung bermula hari ini akan disalurkan kepada semua 576 buah masjid yang telah menjadi Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin, Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Hari ini pihak LZNK dalam usaha untuk mengagihkan tambahan bekalan makanan       sebanyak 57,600 kampit beras dan 172,800 tin sardin sebagai tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan bekalan makanan yang sedia ada di setiap masjid. Dijangkakan agihan bekalan makanan ini bakal memberi manfaat kepada 74,880 buah keluarga yang terjejas dan terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan di Negeri Kedah.

Pihak LZNK juga akan memantau dan menambah bekalan makanan ini dari semasa ke semasa untuk memastikan rakyat Negeri Kedah tidak keputusan bekalan makanan. Bantuan ini akan dilaksanakan oleh semua Penolong Amil yang dilantik dengan mematuhi aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan oleh pihak berkuasa dan Kerajaan Malaysia.

Selain itu, pihak LZNK juga telah menghantar bantuan peralatan kecemasan bagi rawatan COVID-19 Negeri Kedah yang berpusat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Sebanyak RM360,000.00 diperuntukkan untuk membeli 3 unit alat bantuan pernafasan (ventilator) bagi tujuan penempatan mangsa COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga wad biasa. Bantuan tersebut diserahkan kepada YBhg. Dr Zaiton binti Udin, Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Syeikh Zakaria Othman berkata, “Pihak kami akan sedaya upaya membantu pihak hospital dalam menangani wabak ini dan juga mana-mana pihak yang memerlukan khususnya asnaf fakir miskin yang terputus bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan”.

“Pihak kami amat berbesar hati dengan penglibatan dan kerjasama erat semua pihak khususnya pembekal yang dilantik, warga kerja LZNK, hospital, masjid dan Anggota daripada Rejimen 513 Askar Wataniah Kem Bukit Pinang”, tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif juga sempat mengedarkan beberapa botol air mineral dan cenderahati kepada barisan keselamatan seperti polis yang bertugas pada hari ini di sepanjang jalan di Alor Setar.

Bagi golongan asnaf fakir miskin yang memerlukan bantuan iaitu yang terputus bekalan makanan dalam tempoh PKP COVID-19 boleh menghubungi Penolong Amil atau Imam Kariah masing-masing.

Pembayaran zakat kini lebih mudah secara atas talian dilaman sesawang https://jom.zakatkedah.com.my/.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”