SIK, 4 SEPTEMBER 2018 – Lembaga Zakat Negeri Kedah ( LZNK) tampil membantu tiga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Pengurus LZNK Sik, Mohd Khairul Nizam Abd Aziz berkata, salah seorang pelajar dibantu melibatkan kes yang ditularkan di media sosial.

Menurutnya, pihak LZNK menziarahi ketiga-tiga pelajar terbabit termasuk meluluskan bantuan segera.

“Kita daripada pihak LZNK amat prihatin terhadap masalah tiga pelajar tersebut.

“LZNK juga akan meluluskan Bantuan Awal IPT kepada mereka dalam tempoh kurang dari sebulan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, bantuan diberikan dapat menampung semua pelajar tersebut membayar yuran, membeli pakaian dan persedian lain masuk ke universiti.

Menurutnya, pada dasarnya mereka tahu saluran diwujudkan LZNK, namun hadapi kekangan menjelaskan yuran awal ditetapkan pihak zakat.

“Mana-mana pelajar ingin memohon bantuan zakat perlu bayar sedikit yuran sebagai bukti ingin melanjutkan pengajian di universiti ditawarkan.

“Tetapi ketiga-tiga pelajar ini tidak mampu, justeru kita luluskan bantuan segera sebelum bantuan awal IPT diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada tiga keluarga pelajar terbabit adalah penerima bantuan zakat.

“Bagi kes pelajar ditularkan di media sosial, keluarganya menerima bantuan rumah daripada LZNK.

“Manakala sebuah lagi keluarga pelajar merupakan penerima bantuan secara bulanan. Pihak LZNK sentiasa melakukan pemantauan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, untuk 2017, hampir RM24 juta dikeluarkan LZNK bagi membantu pelajar di bawah asnaf fi sabilillah menyambung pengajian di universiti tempatan.

“Jumlah itu tidak merangkumi bantuan telah diluluskan kepada pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di luar negara,” katanya.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf