ALOR SETAR, 09 NOVEMBER 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berhasrat untuk melaksanakan modul pertahanan awam di semua sekolah di bawah Zakat Kedah dalam usaha melahirkan pelajar berkemahiran dalam ilmu asas pertahanan awam serta pertolongan cemas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata pelaksanaan pertahanan awam melibatkan Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah iaitu CDERT LEPSAZ dan modul itu akan diterapkan di semua peringkat sekolah Zakat Kedah mengikut garis panduan Pengurusan Kadet Pertahanan Awam Malaysia.

“Harapan saya semua sekolah di bawah Zakat Kedah adalah menjadi Sekolah Watak Zakat (Kadet Sekolah Pertahanan Awam) di setiap daerah, kita nak kakitangan sekolah dan pelajar menjadi pemimpin masyarakat yang berdisiplin tinggi dan mempunyai nilai tambah dalam masyarakat apabila sesuatu kes kecemasan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Sekolah Watak Zakat Kedah di Kolej Agama Sultan Abdul Halim di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab.

Syeikh Zakaria berkata ketika ini sekolah di bawah Zakat Kedah yang dijadikan Sekolah Watak Zakat Kedah ialah Kolej Agama Sultan Abdul Halim (Sekolah Ulul Albab Zakat dan Sekolah Keusahawanan Zakat Kedah) di sini serta Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Sik.

Beliau berkata menerusi Sekolah Watak Zakat itu, semua kakitangan sekolah termasuk guru dilatih ilmu pertahanan awam dikendalikan pegawai APM di pusat latihan bersesuaian bagi mendapatkan kemahiran asas penyelamatan.

“Jadi, kita mengalu-alukan mana-mana sekolah yang tidak mampu dari segi kewangan dan pentadbiran boleh berbincang untuk diserap kepada sekolah zakat dan menubuhkan Sekolah Watak Zakat Kedah yang kita sasarkan setahun sebuah bermula tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana sekolah agama di negara ini menyertai badan beruniform itu sekali gus secara tidak langsung dapat membantu APM dalam menangani kes kecemasan ringan dalam kalangan komuniti.

“Mereka ini masih belajar dan sekiranya ada operasi menyelamat seperti naik bot, mereka tidak dibenarkan. Mereka masih boleh membantu dalam kerja-kerja memberi bantuan, membersihkan kawasan dan itu perlu mendapat kebenaran pihak sekolah,” katanya. –

Disunting Oleh : Unit Penerangan, Bahagian Komunikasi Strategik


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”