ALOR SETAR, 30 MEI 2019 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membelanjakan lebih RM 6.13 juta demi membantu golongan memerlukan melalui Bantuan Pendidikan Zakat Kedah.

Program tersebut telah disempurkan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Sheikh Haji Abdul Rahman Haji Abdullah di Dewan Sultan Badlishah Maktab Mahmud, Alor Setar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, peruntukan kewangan berkenaan diagihkan kepada penerima mengikut kategori masing-masing.

Katanya, Zakat Kedah menyalurkan lebih RM 1.86 juta bantuan pembangunan Institusi Pondok Kedah 2019 untuk 7 buah sekolah pondok di Kedah.

Manakala, lebih RM 1.4 juta dibelanjakan untuk membantu 34 buah sekolah agama rakyat melalui Bantuan Pengurusan Tahunan Sekolah Agama Rakyat 2019.

Antara lain, Bantuan Dermasiswa Melanjutkan Pelajaran ke Mesir diberikan kepada 329 orang pelajar dianggarkan sebanyak RM1,726,000.00, manakala Bantuan Dermasiswa Melanjutkan Pelajaran ke Jordan sebanyak RM 104,000.00 diagihkan kepada 12 orang pelajar, Dermasiswa Melanjutkan Pelajaran ke Indonesia sebanyak RM 521,000.00 kepada 124 orang pelajar.

Selain itu Bantuan Ihya Ramadhan turut disalurkan kepada Madrasah Nurul Islah Pondok Tuan Guru Haji Bakar sebanyak RM 35,000.00, manakala bantuan Biasiswa UniSHAMS sebanyak RM1,200,000.00 diagihkan kepada 55 orang pelajar.

Dalam majlis yang sama bantuan projek khas pembangunan pendidikan Pulau Tuba turut disalurkan RM 25,000.00 bagi tujuan program dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara yang bakal dijalankan di SMK Langkawi, Pulau Tuba selama 3 bulan bagi calon SPM melibatkan 35 orang.

Manakana bantuan projek khas CEO @ School pula disalurkan sebanyak RM 19,900.00 bagi tujuan program untuk melahirkan CEO muslim professional yang pakar dalam bidang perkauanan bagi keperluan syarikat korporatl, program ini melibatkan kerjasama daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Syafinas (TISSA), UUM yang akan melibatkan 40 orang pelajar tingkatan 4 aliran tahfiz (akaun) daripada SMK Agama Kedah.

Syeikh Zakaria berkata, bantuan berkenaan diberikan demi membantu meringankan beban dan memberi keselesaan kepada penerima dalam membangunkan institusi pendidikan di Negeri Kedah khususnya.

Turut hadir sama, Wakil Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Jamal Zainol, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Yang Berhormat Nik Azhan Hakim Nik Mahmood.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”