ALOR SETAR, 11 FEBRUARI 2021 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan Skim Pembiayaan Rumah Asnaf Bergaji bagi membantu golongan itu memiliki kediaman sendiri, walaupun mereka berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pinjaman bank.

Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman, berkata skim itu diwujudkan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) untuk ansaf yang menerima gaji bawah RM1,200.

“Kita akan menanggung separuh daripada kos keseluruhan pembinaan rumah dengan nilai maksimum sebanyak RM45,000. Bank Islam pula akan memberi pinjaman sebanyak RM22,500 kepada pemohon yang layak.

“Menerusi skim ini, mereka hanya perlu bayar kira-kira RM260 sebulan kepada pihak bank bagi tempoh 10 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Zakaria berkata, setakat ini pihaknya sudah meluluskan dua permohonan dengan kedua-dua kediaman siap dibina dan kunci sudah diserahkan kepada pemiliknya, baru-baru ini.

Katanya, beliau difahamkan program seumpama itu adalah yang pertama di negara ini dan pihaknya menyasarkan seramai 20 lagi asnaf bergaji akan menerima manfaat daripada skim berkenaan tahun ini.

“Untuk menyertai skim ini, pemohon perlu melepasi siasatan LZNK dan tidak disenarai hitam, bagi membolehkan pihak bank meluluskan permohonan pinjaman peribadi mereka.

“Mereka juga tidak semestinya mempunyai tanah bergeran atas nama sendiri kerana mereka boleh mendapatkan kebenaran bertulis daripada mana-mana pihak untuk membina rumah di atas tapak bersesuaian,” katanya.

Zakaria berkata untuk perancangan jangka panjang, pihaknya bercadang membuka tawaran kepada mana-mana pihak sama ada korporat atau individu bagi menjayakan skim berkenaan.

“Mana-mana pihak yang berhasrat nak sumbangkan sebanyak RM22,500 iaitu separuh kos keseluruhan pembinaan rumah itu, kita amat alu-alukan kerana kadang-kadang kemampuan kewangan kita terhad dan jika ada pihak tampil membantu, lebih ramai asnaf bergaji akan dapat manfaat ini,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”