24 JANUARI 2018 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan geran tahunan RM1.24 juta bagi membantu Pusat Penyelidikan dan Inovasi Zakat di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi pengurusan dan pentadbiran, proses pembangunan dan pemantauan (RM200,000), geran penyelidikan (RM300,000) manakala RM441,000 lagi adalah agihan zakat untuk membantu pelajar, warga (UUM) dan masyarakat setempat.

“Kita pilih (UUM) sebagai rakan strategik bagi tujuan pembangunan serta penyelidikan zakat seiring dengan pencapaian (UUM) sebagai universiti pengurusan terkemuka.

“Penyelidikan yang dilakukan turut melibatkan semua prospektif seperti pengurusan, teknologi informasi dan perakaunan serta berharap ia akan menjadi perintis bagi institusi zakat lain dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia,” katanya selepas mesyuarat Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Inovasi di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (UUM) Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad dan Pengarah Pusat Zakat (UUM) Prof Madya Dr Muhammad Nasri Md Hussain.

Selain itu, (UUM) turut dilantik sebagai amil zakat dan sebahagian geran yang diperuntukkan ini merupakan agihan balik zakat pendapatan daripada kakitangan (UUM).