KUALA MUDA, 17 DISEMBER 2019 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah memperuntukkan sebanyak RM80.7 juta bagi skim pendidikan di bawah kategori asnaf fisabilillah untuk tahun ini.

Pengerusinya, Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, peruntukan itu merupakan antara yang tertinggi selepas asnaf fakir dan miskin sekali gus menunjukkan keperluan serta kepentingan untuk membangunkan pendidikan di negeri ini.

“LZNK amat komited dalam perjuangan pendidikan anak bangsa kerana kami percaya, pendidikan yang betul dan berkesan mampu mengubah graf kehidupan sesebuah keluarga asnaf.

“Tidak mustahil dari kalangan keluarga asnaf ini nanti, akan lahir para doktor perubatan, akauntan, jurutera serta pelbagai lagi profesional muslim. Justeru anak-anak ini akan terus dibangunkan menerusi sistem pendidikan LZNK yang telah direka khas bagi mengembangkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Agihan Pakaian Seragam dan Beg Sekolah Rendah LZNK Bagi Sesi Persekolahan 2020 di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman; Timbalan CEO (Agihan dan Pembangunan Asnaf) LZNK, Ridzuan Ahmad serta imam masjid berkenaan, Yusuf Abdullah.

Sementara itu katanya, sebanyak RM600,000 diperuntukkan LZNK untuk menyediakan sebanyak 20,979 pasang baju seragam serta beg sekolah yang akan diedarkan di seluruh Kedah menerusi program tersebut.

“Usaha ini akan memberi manfaat kepada pelajar dari 458 buah sekolah rendah di seluruh Kedah. Di daerah Kuala Muda ini saja, sebanyak 3,486 pelajar layak menerima manfaat daripada program ini,” katanya.

Menurutnya, semua pakaian seragam itu dijahit oleh para asnaf yang telah dilatih di Pusat Kemahiran Jahitan Zakat Kedah.

“Sedaya upaya LZNK akan menggunakan konsep dari asnaf kepada asnaf bagi tujuan mengoptimumkan keberkesanan setiap sen wang zakat yang dibelanjakan,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”