09 DISEMBER 2017 – Lembaga Zakat negeri Kedah (LZNK) menyasarkan sebanyak 30,000 pakaian seragam sekolah dengan peruntukkan RM1 juta dapat diagihkan kepada murid dan pelajar miskin di seluruh negeri itu pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya kini sudah pun memulakan inisiatif membantu murid dan pelajar dari golongan asnaf di negeri itu dalam pemberian kelengkapan sekolah bagi meringankan bebanan golongan ini dalam menghadapi sesi persekolahan yang bakal dibuka awal tahun hadapan.

“Kita mensasarkan jumlah agihan pada tahun hadapan adalah sebanyak 30,000 pakaian seragam sekolah dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta.

“Harapan kita juga adalah supaya bermula tahun hadapan agihan ini dapat disebarkan ke seluruh daerah di Kedah pada tahun hadapan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Pakaian Seragam Sekolah kepada murid dan pelajar miskin serta anak yatim sempena Karnival Mahabah Rasul di Masjid Al Wusta, Guar Chempedak, Yan.

Tambahnya, setakat pada tahun ini, hanya enam daerah di negeri itu sahaja yang dapat menerima pengagihan sumbangan pakaian seragam sekolah itu iaitu Yan, Kuala Muda, Kota Setar, Sik, Padang Terap dan Kubang Pasu.

“Jika dilihat kepada penyediaan pakaian seragam sekolah yang disediakan oleh LZNK ini, ia meningkat dari tahun ke tahun dimana pada tahun lalu dan ini sahaja sebanyak 18,000 pakaian seragam berjaya diagihkan kepada muid dan pelajar miskin di negeri ini.

“Kita menjangkakan dalam tempoh empat tahun yang akan datang juga, kita sudah boleh mempunyai bilangan pakaian seragam sekolah yang banyak untuk memenuhi keperluan semasa golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata,kerjasama pihaknya dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) juga berjaya menghasilkan pakaian seragam sekolah ini menggunakan tenaga pelajar terlatih yang diambil dari golongan asnaf juga.

“KEDA menyediakan kuantiti mesin jahit yang besar serta tenaga pelajar terlatih yang terditi daripada golongan asnaf manakala pihak kami pula menyediakan jumlah kain secukupnya untuk keperluan ini.

“Tukang jahit asnaf ini juga dibayar upah sebanyak RM12 bagi sepasang pakaian seragam sekolah itu yang dihasilkan di tiga pusat kemahiran kita di Perkampungan KEDA di Alor Setar, Kuala Muda dan Sik,” katanya.

Sementara itu dalam majlis berkenaan, Syeikh Zakaria Othman menyerahkan sumbangan kelengkapan sekolah yang terdiri daripada kasut, beg sekolah, stokin, baju, seluar serta kain sekolah kepada 51 murid dan pelajar dari kariah Masjid Al-Wusta, Guar Chempedak.

Syeikh Zakaria Othman menyerahkan  pakaian seragam sekolah tersebut kepada salah seorang penerima bantuan disaksikan oleh Ketua Jabatan Agihan, Hamidi Mohd Nor.

Ketua Pegawai Eksekutif (LZNK), Syeikh Zakaria Othman beramah mesra bersama penerima bantuan.