YAN, 14 MEI 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghulurkan sumbangan kepada 1,381 pelajar di 55 pusat pengajian pondok dan tahfiz dalam negeri ini bagi membantu mereka berdepan situasi semasa ekoran penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, sumbangan tersebut diberikan kepada para pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Sama ada pusat tahfiz atau pondok itu berdaftar atau tidak, itu kita tak ambil kira. Jika ada pelajar yang tak pulang ke kampung, maka mereka diberikan bantuan ini.

“Setiap pelajar dibekalkan dengan tujuh barangan iaitu 10 kilogram beras, minyak masak, tin sardin, teh, kicap, sos dan roti. Secara keseluruhan, kami membelanjakan sebanyak RM73,000 bagi untuk menyampaikan sumbangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Pelajar Pondok Maahad As-Syatirie (Pondok Sungai Dedap), di sini, hari ini.

Tambahnya, inisiatif diperkenalkan itu turut diperkenankan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mahu supaya para pelajar tahfiz dan pusat pengajian yang pelajarnya tidak pulang ke kampung, diberi perhatian.

“Agihan telah dibuat di beberapa daerah dan dijangka selesai dalam minggu ini juga. Bantuan ini diharap membantu mereka yang kebanyakannya hadir dari keluarga berpendapatan sederhana atau rendah bersempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Pada minggu lalu, LZNK turut memberi bantuan ‘one off’ hari raya kepada 11,000 guru agama yang berpendapatan kurang daripada RM2000 di negeri ini.

Sementara itu Mudir Maahad As-Syatirie, Zulkiflie Mohd Sohaini menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan LZNK terhadap para pelajarnya.

“Sumbangan ini pastinya meringankan bebanan semua pihak. Terima kasih diucapkan kepada LZNK kerana sentiasa cakna dan memberi perhatian terhadap maahad tahfiz dan pondok tanpa mengambil kira sama ada masing-masing mendaftar atau tidak,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”