Newsletter
Newsletter

Majlis Apresiasi Rakan Strategik LZNK Dirasmi Sultan Kedah, Pelan Strategik 2026–2030 Dilancarkan

Scroll down

26 November 2025

11:19 AM

izzati

KUALA LUMPUR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman, berkenan berangkat ke Majlis Apresiasi Rakan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Turut berangkat, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah. Hadir sama, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, bersama barisan kepimpinan negeri.

Ketibaan baginda berdua disambut Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi LZNK, YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman; serta para dif kenamaan.

Pada majlis tersebut, Sultan Kedah berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada 10 syarikat korporat berjumlah RM23.16 juta. Tunku Mahkota Kedah pula menerima serahan daripada 8 syarikat dengan jumlah RM4.58 juta, menjadikan keseluruhan kutipan zakat perniagaan pada majlis itu sebanyak RM27.74 juta.

Majlis turut menyaksikan Baginda Sultan melancarkan Buku Pelan Strategik LZNK 2026–2030, dokumen hala tuju baharu berasaskan Maqasid Shariah, perancangan berasaskan data, VBI, kerangka ESG serta nilai Yusufiyyah. Pelan ini memberi fokus kepada tujuh teras strategik termasuk pengukuhan teknologi dan AI, tadbir urus berimpak tinggi serta penjajaran terhadap matlamat SDGs.

Dalam perkembangan lain, LZNK turut menerima sijil ISO/IEC 27001:2022 dan ISO/IEC 27701:2019, menjadikan agensi itu sebagai agensi agama pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan keselamatan maklumat dan privasi berprestij tersebut daripada CyberSecurity Malaysia. Baginda Sultan turut menerima LZNK Stakeholder Engagement Impact Report 2025 daripada INCEIF University.

Penganjuran Majlis Apresiasi Rakan Strategik ini bertujuan menghargai para pembayar zakat serta memperkukuh kerjasama strategik antara LZNK dan sektor korporat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi asnaf di Kedah. Pelbagai projek pembangunan ekonomi ummah berimpak tinggi telah direalisasikan hasil sokongan para rakan strategik.

Majlis turut dihadiri Ahli-Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, wakil institusi kewangan serta pembayar zakat korporat.

Posted in Berita Terkini
Write a comment