Newsletter
Newsletter

MAJLIS PELEPASAN 97 PELAJAR KEDAH KE TIMUR TENGAH

Scroll down

28 September 2025

4:44 PM

izzati

ALOR SETAR, 28 September 2025 – Seramai 97 orang pelajar Kedah diraikan dalam Majlis Pelepasan Pelajar Kedah ke Timur Tengah Tahun 2025 anjuran Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) yang berlangsung di Dewan Insaniah, Kompleks Pembangunan Asnaf, Taman Wira Mergong, di sini.

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Azam Bin Samat, Exco Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Turut menyampaikan ucapan ialah Tuan Sheikh Rodzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, manakala Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Dr. Mohammad Faisal Bin Mustaffa, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam ucapannya memberikan amanat serta harapan agar para pelajar menjaga nama baik negeri dan sentiasa menghargai sumbangan para pembayar zakat yang membiayai perjalanan mereka menuntut ilmu.

“LZNK membiayai sepenuhnya pelajar Kedah yang melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan sekiranya tidak menerima tajaan lain. Agihan di bawah asnaf fisabilillah ini meliputi kos asas termasuk tiket penerbangan, perbelanjaan tahun pertama, serta agihan tahunan tanpa had bilangan pelajar,” kata Dr. Mohammad Faisal Bin Mustaffa.

Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan serta kesungguhan LZNK dan YINK dalam melahirkan generasi pelapis yang berilmu dan berakhlak mulia, di samping mengangkat peranan zakat sebagai instrumen pembangunan ummah.

Posted in Berita Agihan