Newsletter
Newsletter

MAJLIS PERASMIAN DAN PENYERAHAN PERALATAN PROJEK PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI UMMAH PERSATUAN NELAYAN DARAT TASIK GUBIR

Scroll down

9 October 2025

4:53 PM

izzati

Sik, 9 Oktober 2025 – RHB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menganjurkan Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan Projek Pembangunan Sosioekonomi Ummah kepada Persatuan Nelayan Darat Tasik Gubir, bertempat di perkarangan Pejabat Persatuan Nelayan Tasik Gubir, Sik.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Dato’ Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad bersama Dato’ Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sik serta wakil daripada Pejabat Hutan, Pejabat Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah.

Dalam majlis tersebut, RHB Islamic Bank Berhad turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM700,000.00 kepada LZNK sebagai tanda komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Melalui Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM329,200.00, pelbagai peralatan dan kemudahan telah disalurkan bagi membantu meningkatkan taraf hidup nelayan setempat. Antara peralatan dan kemudahan yang diagihkan termasuk:

  • Bengkel Pembaikan Enjin dan Set Peralatan bernilai RM46,500,
  • 5 unit bot nelayan bernilai RM35,000,
  • 100 unit pukat nelayan bernilai RM20,000,
  • 2 unit bot penumpang bernilai RM80,000,
  • 20 unit jaket keselamatan bernilai RM2,800, dan
  • 1 unit rumah rakit bernilai RM154,900.

Program diteruskan dengan Sentuhan Ummah, salah satu inisiatif berterusan dalam memperkasa ekonomi asnaf dan komuniti luar bandar melalui kerjasama strategik bersama rakan korporat.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja menzahirkan komitmen RHB Islamic Bank dan LZNK dalam memperkasa ekonomi ummah, malah memperlihatkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan komuniti luar bandar. Melalui bantuan bersasar seperti ini, para nelayan dalam kalangan asnaf diyakini mampu meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan secara berterusan.

Posted in Berita Agihan