ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini mengumumkan ketetapan kadar zakat fitrah bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi untuk Negeri Kedah Darul Aman.
Penetapan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan harga dan jenis beras yang menjadi makanan kebiasaan majoriti umat Islam di negeri ini, iaitu pada kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
Dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, kadar zakat fitrah bagi tahun 1447H/2026M ditetapkan seperti berikut:
- RM9.00 bagi beras tempatan
- RM15.00 bagi beras import dan seumpamanya
- RM23.00 bagi beras basmathi dan seumpamanya
Sehubungan itu, umat Islam di Negeri Kedah digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi makanan harian masing-masing bagi memastikan pelaksanaan ibadah tersebut selaras dengan ketetapan syarak.
Bagi tahun 2026, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta, yang akan diagihkan kepada kira-kira 27,300 orang asnaf dalam kalangan fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah. Agihan zakat fitrah ini akan dilaksanakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam usaha memudahkan urusan pembayaran, LZNK menyediakan 23 saluran pembayaran zakat fitrah, termasuk melalui portal dan aplikasi rasmi LZNK, perbankan internet, e-dompet serta pelbagai platform digital lain.
Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi yang dilantik turut menggunakan kaedah pembayaran digital seperti Kod QR dan sistem MyAmil. Resit pembayaran akan dikeluarkan secara digital, manakala kaedah kutipan menggunakan kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih sahaja.
