Newsletter
Newsletter

PROGRAM SENTUHAN UMMAH DI BANDAR BAHARU

Scroll down

29 January 2026

2:32 PM

asyraf zainol

BANDAR BAHARU, 28 Januari 2026 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) meneruskan komitmen menyantuni golongan asnaf melalui pelaksanaan Program Sentuhan Ummah yang berlangsung di Khariah Sungai Kechil Ilir, Daerah Bandar Baharu.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan LZNK mendekati asnaf secara langsung di peringkat komuniti.

Sumbangan Agihan Sara Hidup Sekaligus disampaikan oleh Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK

Seramai enam orang asnaf telah disantuni dalam program berkenaan, melibatkan empat penerima agihan kewangan bulanan serta seorang pesakit panel dialisis di bawah seliaan LZNK. Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada penyaluran agihan secara terus, malah membolehkan pihak LZNK berinteraksi secara dekat dengan asnaf, mendengar kisah kehidupan mereka serta memahami keperluan harian yang dihadapi.

Program Sentuhan Ummah ini turut disertai para muzakki daripada beberapa syarikat, antaranya C and C Pharmacy, Hj Che Ros Enterprise, Koperasi Melayu Mukim Sungai Batu Serdang Kedah Berhad dan Zasuha Enterprise, sebagai tanda sokongan serta kerjasama berterusan bersama LZNK dalam pengurusan zakat.

Turut terlibat ialah Khalid bin Wahab, Imam Masjid An-Naim, Haji Abdul Halim bin Mat Isa, Penolong Amil, serta wakil-wakil komuniti setempat yang bersama-sama turun padang menyantuni golongan asnaf.

LZNK akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan program pembangunan ummah demi memastikan kesejahteraan golongan memerlukan sentiasa terpelihara, selaras dengan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh para pembayar zakat.

Posted in Berita Agihan