KULIM, 13 NOVEMBER 2018 – Ketabahan seorang suami yang sanggup menjaga dan menguruskan keperluan serta rawatan isterinya sejak tiga bulan yang lalu apabila isterinya secara tiba-tiba diserang penyakit strok otak, membuatkan pihak zakat Daerah Kulim tersentuh dan bertindak cakna untuk menyantuni keluarga ini.

Suami beliau terpaksa meninggalkan perniagaannya sebagai penebar roti canai di pasar pagi Padang Serai bagi menumpukan tugas untuk menjaga isterinya yang terlantar sakit serta menguruskan anak mereka yang berusia lima tahun.

Kehidupan pasangan suami isteri yang baru berusia 23 tahun ini telah berubah apabila isterinya diuji dengan penyakit strok otak. Mereka kini tinggal bersama keluarga di Taman Melati, Padang Serai

Dalam pada itu, wakil Pejabat Zakat Daerah Kulim turun melihat sendiri keadaan isterinya yang sangat menyentuh hati dimana beliau hanya mampu terbaring di atas katil khas serta tidak mampu memberikan respon terhadap kehadiran orang sekeliling. Hanya kelipan mata yang dilihat lemah dan tidak bertenaga.

Namun begitu, isteri beliau amat beruntung apabila dikurniakan seorang suami dan bapa yang prihatin kerana sanggup menjaga serta mengurus dirinya semasa sakit. Malahan,
suaminya sanggup menghabiskan wang simpanan mereka bagi menyediakan kelengkapan perubatan seperti katil khas, mesin sedut kahak dan mesin oksigen yang mencecah ribuan ringgit dalam memastikan keselesaan si isteri sepanjang berada di rumah.

Hasil sesi temu ramah bersama suami, beliau berkata, mesin oksigen yang digunakan oleh isterinya memerlukan pengisian yang berkala setiap minggu dan memerlukan kos yang tinggi untuk ditanggung oleh mereka sekeluarga sedangkan bapa mertuanya hanya berniaga nasi lemak sahaja sebagai hasil pendapatan keluarganya.

Tambahan pula, beliau juga mempunyai seorang adik yang masih belajar di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim yang juga memerlukan kos pendidikan yang tinggi.

Beban keluarga ini terus dirasai apabila masih membayar sewa rumah mereka disamping turut menggunakan wang pendapatan mereka untuk menyediakan susu dan makanan khas pesakit beserta kos berulang alik ke Hospital Kulim dan Pulau Pinang untuk menjalani rawatan susulan.

Lanjutan daripada kisah suami isteri ini, pihak zakat daerah kulim akan membantu keluarga ini semampunya setelah proses dokumentasi selesai. Pihak zakat akan memastikan nasib keluarga ini terbela dengan wang zakat sekaligus membantu meringankan beban yang dialami mereka.

Terdahulu, PZS Kulim turut menyerahkan kit bantuan makanan asas kepada keluarga ini di samping menyatakan rasa simpati keatas ujian yang ditanggung oleh mereka. Pihak zakat turut menyeru masyarakat untuk mendoakan kesembuhan kepada pesakit ini serta memberikan kekuatan untuk terus tabah menghadapi ujian ini.

350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF?? HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf