Utama Berita Agihan SULTAN KEDAH PERKENAN PERUNTUKAN LEBIH 7 JUTA BAGI MENGHADAPI COVID19

SULTAN KEDAH PERKENAN PERUNTUKAN LEBIH 7 JUTA BAGI MENGHADAPI COVID19

ALOR SETAR, 23 MAC 2020 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, telah memperkenankan agar Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan peruntukan untuk agihan khas lebih RM7 juta bagi tujuan agihan segera dan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan COVID-19. Hal ini bagi memastikan golongan asnaf dan golongan berpendapatan kecil di Negeri Kedah yang terjejas sumber pendapatan dan tidak mempunyai wang simpanan kecemasan seperti golongan peniaga, nelayan dan sebagainya dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Ketika ini, pihak LZNK dalam usaha untuk mengagihkan tambahan bekalan makanan sebanyak 57,600 kampit beras dan 172,800 tin sardin kepada semua 576 buah masjid di Negeri Kedah yang telah menjadi Pusat Bekalan Makanan Fakir dan Miskin Zakat Kedah dalam tempoh terdekat.

Agihan ini adalah tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan terhadap bekalan makanan sedia ada. Dijangkakan agihan bekalan makanan ini bakal memberi manfaat kepada 74,880 buah keluarga yang terjejas dan terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan di Negeri Kedah.

Pihak LZNK juga akan memantau dan menambah bekalan makanan ini dari semasa ke semasa untuk memastikan rakyat Negeri Kedah tidak keputusan bekalan makanan. Agihan ini akan dilaksanakan di semua masjid dengan mematuhi aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan oleh pihak berkuasa dan Kerajaan Malaysia.

Selain itu, pihak LZNK juga telah meluluskan peruntukan segera seperti yang dipohon oleh pusat rawatan COVID-19 Negeri Kedah yang berpusat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Sebanyak RM340,000.00 diperuntukkan untuk membeli 3 unit alat bantuan pernafasan (ventilator) bagi tujuan penempatan mangsa COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga wad biasa.

Pihak LZNK juga dari semasa ke semasa akan membantu menyediakan peralatan lain bagi tujuan menghadapi COVID-19, antaranya membekalkan keperluan yang mendesak seperti pakaian keselamatan petugas kesihatan (Personal Protective Equipment) berdasarkan peruntukan sedia ada bagi tujuan menjaga keselamatan petugas kesihatan.

Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah juga telah perkenan supaya LZNK membantu menjaga kebajikan golongan petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi benteng hadapan menghadapi COVID-19. Bagi tujuan ini, pihak LZNK akan mengagihkan sesegera mungkin makanan tambahan kesihatan (supplement) seperti vitamin dan ubat-ubatan yang bersesuaian yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam masa yang sama, agihan bantuan bulanan kepada 15,364 penerima berjumlah RM4,014,600.00 bagi bulan Mac akan turut diawalkan dari tarikh biasa.

Mengambil kira jumlah agihan di atas, keseluruhan jumlah agihan yang akan dibuat oleh pihak LZNK dalam tempoh ini dianggarkan lebih daripada RM7 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih 90,244 buah keluarga.

Sehingga hari ini, pihak LZNK telah menerima komitmen sebanyak RM500,000.00 sumbangan zakat khas daripada agensi-agensi korporat bagi tujuan ini. Pihak LZNK juga mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak untuk menampung agihan segera yang dibuat ini bagi menghadapi COVID-19.

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan sumbangan COVID 19, para penyumbang boleh menghubungi talian khas 019-4092495. Manakala pertanyaan atau kemusykilan berkaitan dengan agihan adalah di talian 019-5962155.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”

Exit mobile version

KAJIAN MENGENAI KEPUASAN PELANGGAN TERHADAP KUALITI PERKHIDMATAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH

Sukacita dimaklumkan bahawa satu kajian mengenai perkara di atas sedang dijalankan. Kajian tersebut adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai persepsi pihak berkepentingan terhadap kualiti perkhidmatan di Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Sila klik SINI untuk menjawab borang soal selidik ini.

Kerjasama serta perhatian tuan/puan dalam mengisi soal selidik ini adalah sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih

You have successfully subscribed to the newsletter

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.