ALOR SETAR, 24 APRIL 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman telah berkenan berangkat menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad. Forum berkenaan berlangsung di Dewan Insaniah, Kompleks Pembangunan Asnaf, di sini hari ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah.

Keberangkatan baginda berdua disambut mesra oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah; Sahibus Samahah Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah; Yang Berhormat Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abdul Samat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah serta Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Forum yang bertemakan “Senjata Ekonomi Ummah: Projek Hassan” ini menampilkan tiga ahli panel terkemuka iaitu Yang Berbahagia Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah; Yang Berbahagia Dato’ Haji Badli Shah bin Alaudin, Timbalan Mufti Negeri Pahang; dan Yang Berbahagia Dr. Haji Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia.
Program ini turut disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM TV1, memberi peluang kepada masyarakat umum mengikuti perbincangan ilmiah berkaitan pemerkasaan ekonomi umat Islam melalui instrumen zakat dan wakaf.
