Zakat Wang Simpanan
Zakat Wang Simpanan
PENGENALAN
Wang simpanan ialah wang yang disimpan oleh pemiliknya sama ada di dalam simpanan seperti tabung, peti besi, bekas dan seumpamanya atau disimpan di dalam akaun simpanan milik institusi kewangan, perbankan, koperasi, takaful dan seumpamanya. Ia meliputi akaun simpanan tetap mahupun simpanan biasa.
2. DALIL KEWAJIPAN
Firman Allah جل جلاله:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِينَ اٰمَنُوْٓا اِنَّ كَثِيْرًا مِّنَ الْاَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُوْنَ اَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِۗ وَالَّذِيْنَ يَكْنِزُوْنَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُوْنَهَا فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِۙ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ اَلِيْمٍۙ ٣٤
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah
apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah al-Taubah; 34-35)
Syarat Khusus Zakat Wang Simpanan
Syarat-syarat umum wajib zakat adalah terpakai. Syarat khusus adalah berkaitan dengan nisab di mana nisabnya adalah mengikut nisab emas iaitu 85 gram. Oleh itu segala jenis harta yang mempunyai ‘illah yang sama dengan emas akan dicampurkan kesemuanya bagi tujuan kiraan zakat, seperti jumlah simpanan Tabung Haji, wang simpanan di bank-bank, nilai tunai polisi takaful (cash value) jongkong/dinar emas dan lain-lain lagi digabungkan untuk mencukupkan nisab emas iaitu 85 gram.
Jenis-Jenis Zakat Wang Simpanan
1. Simpanan biasa
2. Simpanan tetap
3. Simpanan akaun semasa
4. Deposit berstruktur
5. Dual currency
6. Dan lain-lain
Semua deposit di institusi kewangan (sama ada patuh syariah atau konvensional) adalah menjadi tanggungjawab pendeposit sendiri untuk menunaikan zakat.
3. KAEDAH TAKSIRAN
Jumlah simpanan dihujung haul x (2.5% atau 2.577% mengikut haul tahun Hijri atau Masihi) = Jumlah Zakat
Keputusan Irsyad Fatwa
Jawatankuasa fatwa telah meneliti persoalan mengenai kaedah pentaksiran zakat wang simpanan dan bersetuju membuat keputusan seperti berikut:
i. Zakat wang simpanan hendaklah ditaksir berdasarkan baki terakhir di dalam keseluruhan simpanan yang mencukupi nisab dan haulnya.
ii. Pentaksiran melalui kaedah baki terakhir adalah lebih rajih dan aslah berbanding baki terendah untuk mempermudahkan kaedah pelaksanaannya.
(Irsyad al-Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Kedah; 16 Januari 2024)
Wang simpanan anda juga merupakan salah satu bentuk zakat harta. Zakat ini dikenakan ke atas jumlah wang simpanan yang disimpan dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, akaun simpanan semasa, akaun ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.
- Zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun dan cukup nisab.
- Bagi simpanan tetap iaitu setelah cukup haul simpanan iaitu 354 hari dan/atau mencukupi nisab (andaian RM11,504.44) wajib dikeluarkan zakat.
- Bagi simpanan biasa pula, ia adalah berdasarkan jumlah baki terendah satu tahun atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh satu tahun. Ia juga hendaklah diketahui tempoh haulnya iaitu tempoh bilakah bermulanya dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.
- Kami menasihatkan pengiraan zakat simpanan dibuat di kaunter kami yang berhampiran tempat anda.