35 C
Alor Star
Tuesday, March 19, 2024

Hukum Asas Zakat

DALIL KEWAJIPAN MENUNAIKAN ZAKAT (Al-Quran)

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ – 98:5

Maksudnya:

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah SWT dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan demikianlah agama yang lurus.”

(Surah al-Bayyinah, 98: 5

TAKRIF ZAKAT

Zakat dari sudut bahasa:

  • Zakat merupakan kata terbitan daripada kalimah arab (زكى) yang bermaksud suci dan subur.
  • Ianya turut bermaksud bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

 

Zakat pada istilah Syarak:

  • Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu

HUKUM ZAKAT

  • Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib zakat.
  •  Seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat ini boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah dikira fasik dan berdosa besar.

NISAB ZAKAT

  • Nisab bermaksud jumlah minimum harta yang dimiliki yang mewajibkan seseorang berzakat.
  • Contoh Nisab zakat harta jenis mata wang dan umpamanya bersamaan dengan 85 gram emas (20 misqal).
  • Satu misqal bersamaan dengan 4.25 gram.
  • Disebut juga dengan ‘dinar’ kerana wang satu dinar biasanya dicetak dengan menggunakan emas seberat satu misqal. Maka 20 dinar menyamai 4.25 gram x 20 = 85 gram.

 

SYARAT-SYARAT UMUM WAJIB ZAKAT

Enam Syarat wajib ke atas pembayar zakat dan harta zakat yang perlu dipenuhi bagi melayakkan seseorang membayar zakat.

  1. Islam – Orang kafir tidak difardhukan menunaikan zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat.
  • Zakat Orang Murtad

Orang murtad tetap wajib menunaikan zakat sama ada zakat semasa atau zakat tertunggak. Pihak pemerintah berhak mengutip zakat mereka dalam tempoh murtad tersebut.

  • Zakat Kanak-Kanak dan Orang Gila

Orang yang tidak sempurna taklif seperti kanak-kanak, orang gila dan terencat akal tetap wajib menunaikan zakat. Pengeluaran zakat mereka dipertanggungjawabkan ke atas wali atau penjaga atau mana-mana individu atau institusi yang diberi hak penjagaan oleh undang-undang.

  • Zakat Orang yang Meninggal Dunia

Kematian tidak menggugurkan kefardhuan zakat semasa atau tertunggak apabila telah sempurna syarat-syaratnya. Ini kerana zakat yang belum dikeluarkan adalah menjadi hutang si mati. Zakat wajib dikeluarkan oleh waris dengan menggunakan harta peninggalan si mati sebelum diagihkan kepada waris.

  1. Merdeka – Golongan hamba tidak diwajibkan berzakat kerana diri hamba itu sendiri adalah milik tuannya. Sekiranya seseorang hamba mempunyai kekayaan melebihi nisab, maka tuannya yang wajib mengeluarkan zakat ke atasnya.
  1. Pemilikan Sempurna (الملك التام)
  2. Harta Yang Berkembang (المال النامي) – Harta yang berkembang adalah harta pemilikan yang boleh berkembang secara hakiki (حقيقي) atau boleh diusahakan (تقديري).
  • Bentuk harta zakat yang berkembang secara hakiki (حقيقي) adalah:
  1. Binatang ternakan berkaki empat seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya.
  2. Hasil tanaman yang menjadi makanan asasi seperti padi, jagung dan seumpamanya.
  • Barang perniagaan yang berkembang dengan sebab berlaku transaksi urusniaga di pasaran.
  • Harta zakat yang berkembang dengan sebab boleh diusahakan (تقديري) adalah:
  1. Emas, perak, mata wang dan hasil galian seperti minyak, bijih timah, gas asli dan harta karun yang bernilai dan seumpamanya.
  2. Tanaman, ternakan dan lain-lain harta yang diusahakan secara komersial.
  3. Nisab (النصاب)
  • Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu.
  • Nisab menjadi syarat kewajipan zakat supaya dapat dipastikan bahawa kefardhuan zakat hanya diwajibkan ke atas orang Islam yang memiliki kekayaan.
  • Nisab sesuatu harta adalah berbeza-beza berdasarkan jenis-jenis harta zakat. Nilai jumlah minimum nisab zakat telah ditetapkan dengan hadith.

Contoh Nisab:

Bil. Jenis Harta Nisab
1. Unta 5 ekor
2. Lembu 30 ekor
3. Kambing 40 ekor
4. Emas 20 mithqal
5. Perak 200 dirham
6. Hasil bijian dan tamar 5 awsuq

Seorang yang memiliki pelbagai jenis binatang (lembu, kambing, unta) zakatnya berdasarkan nisab setiap jenis binatang. Jika ia memiliki ternakan kambing dari pelbagai jenis contohnya biri-biri, kibash, kambing gurun, boer, jamnapari zakatnya ditaksirkan berasaskan nisab kambing.

  1. Pemilik yang tertentu – Zakat diwajibkan kepada kepada setiap harta yang mempunyai pemilik tertentu. Dan tidak wajib zakat kepada harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya.
  2. Haul (الحول) – tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang selain dari harta zakat biji-bijian, buah-buahan, galian, harta karun dan harta perolehan (al-Mal al-Mustafad).

 

Syarat haul diwajibkan ke atas sebahagian harta zakat sahaja seperti emas, perak, mata wang, binatang ternakan dan barang perniagaan. Manakala zakat hasil pertanian, buah-buahan, galian, madu dan harta karun tidak disyaratkan haul. Zakat wajib ditunaikan sebaik sahaja apabila seseorang itu memperolehi harta atau menerima hasil tanpa perlu menunggu tempoh setahun.

Bil. Haul Kadar Zakat [%]
1. Tahun Qomariah (354 hari) 2.5
2. Tahun Masihi (365 hari) 2.577 = (365 hari × 2.5% ÷ 354 hari)

 

WAKTU WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT

  • orang yang menunaikan pembayaran zakat lebih awal sebelum tempoh kewajipannya adalah harus.
  • Seseorang yang pernah meninggalkan kewajipan zakat bagi tahun yang telah berlalu, ia tetap wajib menggantikan (قضاء) zakat tersebut.

BENTUK-BENTUK HARTA YANG DIWAJIBKAN ZAKAT

  1. Al-Nuqud (emas, perak dan mata wang)
  2. Galian (rikaz dan ma`adin)

iii.          Perniagaan

  1. Tanaman dan buah-buahan
  2. Binatang ternakan

 

KAJIAN MENGENAI KEPUASAN PELANGGAN TERHADAP KUALITI PERKHIDMATAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH

Sukacita dimaklumkan bahawa satu kajian mengenai perkara di atas sedang dijalankan. Kajian tersebut adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai persepsi pihak berkepentingan terhadap kualiti perkhidmatan di Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Sila klik SINI untuk menjawab borang soal selidik ini.

Kerjasama serta perhatian tuan/puan dalam mengisi soal selidik ini adalah sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih

You have successfully subscribed to the newsletter

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.