Zakat Padi

Zakat Padi (Tanaman)

Zakat yang diwajibkan ke atas tanaman yang menjadi makanan asasi yang mengenyangkan bagi penduduk di sesebuah negeri.


Bagi penduduk di Malaysia, oleh kerana makanan asasinya adalah nasi dan nasi dihasilkan daripada padi, maka zakat tanaman yang sesuai dikeluarkan bagi negara Malaysia adalah zakat tanaman padi.

Jenis-jenis Zakat
Menurut mazhab Syafie, jenis pertanian yang diwajibkan zakat ialah yang menghasilkan makanan yang mengenyangkan, tahan disimpan lama, dijadikan makanan lazim (yakni asasi) dan bukan makanan selingan (seperti buah-buahan, ulam-ulaman) dan bukan makanan gantian ketika kesempitan (seperti ubi-kayu dan sebagainya). Lebih khusus dalam mazhab Syafie, zakat hasil pertanian terdiri dari dua kategori sahaja, iaitu:


1. Biji-bijian yang dijadikan makanan asasi seperti gandum, beras dan sebagainya.
2. Buah-buahan: hanya dua sahaja iaitu buah tamar dan kismis.

Syarat Wajib Zakat
Syarat-syarat umum wajib zakat adalah terpakai kecuali haul. Adapun perincian bagi syarat milik sempurna dan nisab adalah seperti berikut:

1. Milik Sempurna


Zakat tanaman wajib dikeluarkan oleh pemilik tanaman tersebut. Sekiranya dua pihak berkongsi dalam mengusahakan tanaman, maka hendaklah dinilai siapakah yang menjadi pemilik bagi tanaman tersebut sebagaimana berikut:


a) Seorang memiliki tanah dan mengupah pekerja untuk menanam padi.
Pemilik tanah berkewajipan untuk mengeluarkan zakat tanaman, manakala pekerjanya hanya perlu mengeluarkan zakat ke atas upahnya jika mencapai nisab zakat pendapatan.


b) Seseorang memiliki tanah dan disewakan tanah tersebut kepada pihak lain untuk menanam padi. Zakat tanaman wajib dikeluarkan oleh pengusaha tanaman padi, manakala pemilik tanah hanya perl mengeluarkan zakat pendapatan al-Mustaghallat.


c) Dua orang berkongsi mengusahakan tanaman padi. Satu pihak mengeluarkan modal manakala satu pihak lagi mengeluarkan tenaga sahaja tanpa modal. Zakat tanaman diwajibkan kepada kedua-dua pihak secara perkongsian.