
Zakat Pendapatan
Zakat Pendapatan
“Zakat pendapatan” adalah satu bentuk zakat yang dikenakan ke atas pendapatan individu di Malaysia. Ini adalah sumbangan wajib yang ditetapkan oleh undang-undang Islam, dan ia digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.
Apa Itu Zakat Pendapatan? Zakat pendapatan merupakan salah satu zakat yang dikenakan terhadap semua umat Islam. Zakat pendapatan ini dikenakan ke atas semua jenis sumber pendapatan, hasil upah yang diperolehi daripada perkhidmatan, pekerjaan dan aktiviti yang menghasilkan pendapatan.
Seorang Muslim, apabila cukup syarat wajib baginya, perlu membayar zakat pendapatan setiap tahun ke atas segala perolehan wang atau gaji untuk tahun itu. Malahan, kepentingan membayar zakat dapat dilihat dalam Rukun Islam sendiri, iaitu Rukun Islam keempat: Kewajiban membayar zakat (bagi mereka yang berkemampuan).
Tentunya terdapat banyak kelebihan diwajibkan membayar zakat. Ia mempunyai kebaikan untuk kedua-dua pihak individu serta masyarakat dan ummah. Antara kelebihan zakat termasuk:-
- Membantu pembangunan ummah dan masyarakat kerana zakat yang dikutip akan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan termasuk fakir miskin, anak yatim dan juga para pelajar kurang berkemampuan.
- Menyatukan ummah dalam hal ekonomi, di mana sama-sama dapat berbincang cara terbaik untuk sama-sama maju dalam pengumpulan harta.
- Mewujudkan hubungan sesama insan di antara pemberi dan penerima zakat – walaupun pembayar zakat mungkin tidak bertemu para penerima zakat, namun dapat melihat pembangunan dan bantuan yang diberikan hasil daripada kutipan zakat.
- Mengelakkan perasaan iri hati sesama insan dan malahan mungkin juga dapat memberi inspirasi kepada golongan penerima zakat untuk memajukan diri sendiri agar dapat menyumbang kepada ummah suatu hari nanti melalui zakat ke atas kekayaan sendiri.
- Menanamkan sifat bertanggungjawab dalam diri individu, terutamanya ketua keluarga.
- Menyucikan harta yang mungkin was-was bagi pembayar zakat.
- Salah satu peluang untuk meningkatkan ibadah adalah dengan membayar zakat ke atas kurniaan daripada Allah SWT dan banyak lagi.