
Zakat Fitrah
Zakat Fitrah
Zakat Fitrah adalah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang tertentu.
Kadar dan jenis zakat fitrah ialah segantang makanan asasi penduduk negeri tempat seseorang mukallaf itu bermukim.
Hukum Zakat Fitrah & Siapa Yang Wajib Membayarnya?
Zakat fitrah diwajibkan ke atas dirinya sendiri, setiap orang yang wajib diberi nafkah.
Mereka itu termasuklah daripada isterinya, usul dan furu’ (keturunannya) dari lelaki atau perempuan dengan syarat mereka ini tergolong dalam golongan fakir miskin.
Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:
- Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
- Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
- Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/98)
Tempoh Bayaran Dibuat
Tempoh bayaran adalah pada bulan Ramadhan sehingga pagi 1 Syawal sebelum melaksanakan Solat Sunat Aidil Fitri.
Hukum mengeluarkan zakat fitrah pada awal bulan Ramadan atau pertengahannya ada beberapa pendapat:
- Harus sebelum raya, sehari atau dua hari. Tetapi lebih daripada itu tidak diharuskan mengikut pendapat Mazhab Malik dan Hanbali.
- Harus mengeluarkannya daripada pertengahan bulan Ramadan. ini satu pendapat dalam Mazhab Hanbali.
- Harus mengeluarkannya pada awal bulan. Ini adalah satu qaul dalam Mazhab Hanafi, Syafie, dan satu pendapat dalam Mazhab Hanbali.
- Harus mengeluarkannya secara mutlak walaupun sebelum Ramadan.
- Menurut Ibn Ruslan, hukum melambatkan bayaran zakat fitrah sehingga satu hari raya adalah haram. Pendapat ini disepakati oleh seluruh ulama. Mengikut jumhur ulama, melambatkan pembayaran zakat tersebut adalah berdosa dan wajib diqadha’. Ini kerana ia merupakan hak bagi harta dan ia tidak akan gugur dengan luput waktunya.
