ALOR SETAR, 02 DISEMBER 2020 – Penjawat Awam Negeri diwajibkan membuat pembayaran zakat pendapatan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui potong gaji masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata selari dengan titah Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah pada 4 Februari 2020 lalu, Baginda berharap agar kakitangan agensi kerajaan, GLC dan swasta dapat membayar zakat pendapatan masing-masing melalui potongan gaji bulanan.

“Baginda turut melakukan hal berkenaan dengan pemotongan elaun bulanan Baginda secara bulanan bermula 18 Mei 2020 lagi untuk dijadikan contoh kepada rakyat negeri ini agar menunaikan salah satu Rukun Islam tersebut.
“Saya dan juga barisan EXCO Negeri Kedah turut melakukan pemotongan gaji dengan membayar zakat pendapatan sebentar tadi melalui LZNK.
“Sehingga hari ini, potongan gaji zakat pendapatan bagi kakitangan Kerajaan Negeri kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah adalah sebanyak RM230,345.35 sebulan melibatkan kakitangan seramai 4,061 orang manakala potongan gaji zakat pendapatan bagi kakitangan Kerajaan Persekutuan pula adalah sebanyak RM3,518,248.16 sebulan yang melibatkan kakitangan seramai 40,888 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama barisan EXCO Kerajaan Negeri Kedah.
Dalam pada itu, Sanusi turut menyatakan bahawa terdapatnya sumber mineral bernilai RM60 bilion di Sik dan Baling yang telah dijumpai oleh Majlis Tanah Negara (MTN).
“MTN yang bermesyuarat dua bulan dahulu telah meluluskan satu rangka dasar mineral negara dan pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan usahasama dengan sebuah syarikat untuk melakukan penerokaan tersebut di Sik dan permit penerokaan telah pun diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman telah mencetak sebanyak 1800 helai baju dengan slogan ‘Jadilah Pemutus, Bukan Pencetus’ untuk disumbangkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di Negeri Kedah.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”