ALOR SETAR, 08 DISEMBER 2020 – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjangkakan kutipan zakat di negeri tersebut akan menurun pada tahun 2021 kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan banyak pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kutipan zakat dalam beberapa sektor dijangka terjejas antaranya berkaitan dengan zakat perniagaan.

Menurutnya, kutipan pada tahun ini masih belum nampak kesannya kerana bayaran zakat hanya dilakukan setelah cukup haul untuk tempoh setahun.

“Tetapi pada tahun depan, kita memang akan menjangkakan penurunan kutipan bayaran zakat.

“Mungkin kesannya tidak begitu ketara untuk zakat pendapatan. Bagi zakat perniagaan dan lain-lain, memang kita jangkakan pengurangan. Sama ada kesannya besar atau tidak, itu belum dapat pastikan lagi,” katanya selepas Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di Menara Zakat, dekat sini hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan turut dihadiri Mufti Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Haji Awang serta Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Nasri Hussain.

Sementara itu, Dato’ Paduka Ammar yang juga Pengerusi LZNK berkata, umat Islam di negeri ini akan tetap menunaikan tanggungjawab untuk menunaikan zakat pada tahun depan walaupun berdepan Covid-19.

Jelasnya, ketelusan LZNK menguruskan wang zakat menjadi sebab pembayar zakat yakin dengan pengurusan lembaga zakat ini.

“Sebagai contoh, kalangan pembayar zakat dapat melihat secara masa nyata (real time) mengenai dari mana wang itu diperolehi dan ke mana wang mereka diagihkan melalui aplikasi ‘Zakat On Touch’ (ZOT).

“Melalui aplikasi itu, kita dapat melihat bagaimana pengurusan zakat ini yang dibuat secara telus benar-benar membantu golongan penerima,” katanya.

Setakat hari ini, kutipan zakat di Kedah berjumlah RM 187,000. 97 juta manakala kutipan bagi sepanjang 2019 membabitkan RM207,213.00 juta.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”