ALOR SETAR, 18 NOVEMBER 2020 – Usaha Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak lagi dipandang sepi oleh Kerajaan Negeri Kedah. Ianya perlu diakui sebagai salah satu sektor penting dalam operasi pengurusan negeri yang perlu diperkasakan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 yang lalu di negara Malaysia, LZNK juga telah membelanjakan sebanyak lebih RM12.87 juta peruntukan kecemasan khas zakat ke dalam sektor-sektor seperti kesihatan, makanan, pendidikan, frontliner, sukarelawan dan usahawan serta penjaja kecil di seluruh negeri Kedah.

Bercakap dalam sidang media selepas Sesi Penggulungan Bajet 2021 di Dewan Undangan Negeri(DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata LZNK telah menyumbang hampir 30.5 peratus kepada dasar fiskal daripada keseluruhan hasil negeri Kedah dan hasil zakat saban tahun diagihkan melalui pelbagai skim yang diwujudkan.

“Jika dibandingkan dengan hasil Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2021 yang dianggarkan sebanyak RM720 juta, hasil kutipan LZNK pula dianggarkan sebanyak RM220 juta.

“Itupun sehingga Oktober 2020 sahaja, LZNK telah tunjukkan seramai 19,561 asnaf di negeri Kedah yang menerima bantuan kewangan tunai secara bulanan dengan belanja lebih RM34.9 juta.

Sementara itu, Sanusi juga berkata pengurusan Zakat Kedah ini adalah antara yang terkehadapan dan menjadi rujukan utama beberapa negara luar antaranya Thailand, Nigeria, Uganda, Ghana, dan Indonesia telah mula datang mengikuti program Kedah International Zakat Academy (KEIZA) anjuran LZNK.

“Kedah ini bukanlah negeri yang kaya tetapi mempunyai banyak hasil dari pertanian terutamanya penanaman padi. Dari sumber padi itulah rakyat Kedah membayar zakat dan mendatangkan banyak hasil serta ianya diuruskan dengan baik oleh LZNK sehingga menjadi rujukan negara luar dan perlu diperkasakan lagi ketahap yang lebih baik.

“LZNK ini pula banyak melakukan program-program yang baik untuk rakyat seperti ‘food bank’ di masjid, mendirikan rumah untuk asnaf, bantuan kepada pelajar dan lain-lain bantuan serta kesedaran membayar zakat di kalangan masyarakat pun sangat tinggi,” katanya.

Disunting Oleh : Unit Media Lembaga Zakat Negeri Kedah


350 TAHUN SERUAN BERZAKAT DI KEDAH

“PEDULI ASNAF??

HUBUNGI ZAKAT KEDAH DI TALIAN”
Talian Bebas Tol : 1800 – 88 – 1740
No.Tel Zakat : 04-731 1740

“Zakat Merubah Kehidupan Asnaf”