26 DISEMBER 2017 – Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) telah mengadakan Program Santuni Masyarakat setempat dengan kerjasama LZNK, MAIK, MAIJ, MAIM, LZS, YAPEIM, BANK ISLAM, dan Yayasan Taqwa yang diadakan di Pondok Chegar Pendang Kedah. Program tersebut telah berlangsung selama 2 hari bermula 24 Disember hingga 25 Disember 2017.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan perasmian oleh, Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Kedah, Dato’ Setia Jaya, Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah Haji Abdul Halim serta ucapan aluan daripada Ketua Pengarah (JAWHAR), Haji Ahmad Musadad Haji Sulaiman.

Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah dalam ucapannya berkata, program seperti ini harus diteruskan kerana ia merupakan majlis ilmu sekaligus dapat menyatupadukan ummah bahkan pelbagai info mengenai zakat dan sebagainya dapat disebarkan melalui program seperti ini.  Selain itu beliau turut berkata, program seperti ini perlu menjadikan sasaran kepada golongan muda dan pelajar sekolah.

Dalam masa sama, Haji Musadad dalam ucapan beliau berkata, ini merupakan program yang julung kalinya dibuat di sini. Antara objektif utama program tersebut untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat dengan institusi agama, selain itu ingin menjalinkan hubungan kerjasama bersama semua agensi kerajaan khususnya di negeri Kedah.

Terdahulu, Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah bersama Timbalan CEO Operasi dan Agihan (LZNK), Ustaz Ridzuan Ahmad telah menyerahkan bantuan 100 kotak bekalan makanan kepada warga emas dan 100 pasang pakaian serta kelengkapan sekolah kepada pelajar sekolah.